
Foto: ADUN Krian
SARATOK: Kepimpinan peringkat akar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian kini dilengkapi dengan kefahaman yang lebih mendalam mengenai agenda pembangunan kerajaan melalui Program Siri Jangkauan Pejabat Setiausaha Politik Jabatan Premier Sarawak.
Inisiatif ini bertujuan memberi penjelasan terperinci kepada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) mengenai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik menegaskan bahawa program tersebut merupakan platform terbaik untuk berkongsi inisiatif serta hala tuju kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Menurut beliau, penglibatan aktif agensi kerajaan dalam memberi taklimat secara langsung membantu menterjemahkan visi besar kerajaan kepada tindakan yang boleh difahami oleh rakyat di peringkat bawah.

Menerusi siri ceramah dan perkongsian yang disampaikan oleh agensi-agensi kerajaan serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, para peserta berpeluang mendapatkan maklumat sahih mengenai isu-isu kritikal.
Antara perkara yang menjadi tumpuan utama termasuklah status bekalan elektrik dan air, liputan internet, serta pelbagai bantuan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Friday menjelaskan bahawa wadah ini sangat penting bagi mengelakkan kekeliruan maklumat yang sering timbul apabila sesuatu isu hanya diperolehi melalui media sosial, televisyen atau akhbar secara sepintas lalu.
Dengan ada interaksi dua hala, pemimpin akar umbi dapat bertanya secara terus kepada pihak berkuasa mengenai masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung mereka.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penangguhan Program Taklimat dan Penerangan Berkenaan Inisiatif dan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bagi kawasan DUN Krian di Dewan Sri Krian Saratok, baru-baru ini.

Dalam majlis yang sama, satu langkah proaktif turut diambil melalui Pelancaran Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) peringkat DUN Krian.
Pelancaran ini membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjaga melalui pengagihan bantuan keperluan asas yang tepat kepada kumpulan sasar yang memerlukan.
Program yang berlangsung sehari itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dengan kehadiran lebih 400 orang peserta. Kumpulan ini terdiri daripada barisan KMKK, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), serta barisan kepimpinan persatuan dan NGO di sekitar kawasan Saratok yang komited untuk membawa perubahan positif.
Turut hadir memberikan sokongan pada majlis tersebut ialah ADUN Kalaka, Mohamad Duri dan Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid.
Kehadiran barisan pemimpin dan pegawai tadbir ini memperkukuhkan lagi sinergi antara wakil rakyat dan jentera kerajaan dalam memastikan setiap perancangan di bawah PCDS 2030 dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan komuniti di Saratok.
Oleh Adi Safarman