
BINTULU: Penganjuran pertandingan sukan dilihat sebagai inisiatif berkesan dalam membentuk disiplin serta daya tahan diri, khususnya dalam kalangan penjawat awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, aktiviti sukan seperti futsal bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, malah membantu membentuk sikap berdisiplin dan keupayaan mengawal tekanan.
“Penganjuran pertandingan sesuatu sukan menjadi inisiatif berkesan dalam membentuk disiplin serta daya tahan diri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kejohanan Futsal Piala Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) 2026 di Kelab Kidurong, Bintulu hari ini.
Menurutnya, sukan futsal yang berintensiti tinggi turut melatih keupayaan membuat keputusan secara pantas selain meningkatkan tahap kecergasan fizikal.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejohanan berkenaan turut berperanan sebagai medium mengeratkan hubungan dalam kalangan warga kerja serta memupuk semangat kerjasama berpasukan.
Katanya, keseimbangan antara tuntutan kerja dan penjagaan kesihatan perlu diberi perhatian bagi memastikan produktiviti dapat dikekalkan.
Justeru, beliau turut menggalakkan semua pihak agar menjadikan aktiviti sukan sebagai amalan berterusan demi kesejahteraan fizikal dan mental.
Turur hadir ialah Jurutera JKR Bahagian Bintulu, Ir Lau Sie Hung.
Oleh Carolyne Utih