Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kepekaan gender perkukuh budaya kerja inklusif
  • TEMPATAN

Kepekaan gender perkukuh budaya kerja inklusif

Utusan Sarawak 6 hours ago
UNTUK ALBUM…Datuk Rosey Yunus (duduk tengah) merakamkan gambar kenangan bersama peserta Program Kepekaan Gender: Menjana Perubahan di Tempat Kerja 2026 (Zon Utara), di Miri, hari ini.

MIRI: Budaya kerja yang menghormati kesaksamaan gender bukan sahaja mampu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan profesional, malah menjadi pemacu kepada peningkatan produktiviti organisasi.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus pada majlis perasmian Program Kepekaan Gender: Menjana Perubahan di Tempat Kerja 2026 (Zon Utara) di sini hari ini.

Fatimah berkata, program yang julung kali dianjurkan itu merupakan inisiatif kementerian bagi memperkukuh kesedaran, kefahaman dan peranan setiap individu mengenai isu gender dalam usaha mewujudkan tempat kerja yang selamat, profesional serta bebas daripada diskriminasi.

Menurut beliau, program selama dua hari itu menghimpunkan 52 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Zon Utara. Program tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh pelaksanaan agenda pemerkasaan gender yang diterajui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak.

Beliau berkata, penganjuran program itu selari dengan penubuhan Unit Khas D2EI (Kepelbagaian, Kesaksamaan, Keadilan dan Keterangkuman) Wanita dan Keluarga Sarawak di JWKS yang bertujuan memperluaskan agenda kesaksamaan gender.

“Sebagai permulaan, penyertaan memberi tumpuan kepada penjawat awam sebelum diperluaskan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Tambah beliau, Miri, Sibu dan Kuching dipilih sebagai tiga lokasi utama penganjuran program tahun ini bagi memperluaskan kefahaman mengenai kepentingan kesaksamaan gender di tempat kerja.

Mengulas perkembangan semasa, Fatimah berkata, Statistik Pemerkasaan Wanita dan Indeks Jurang Gender Malaysia 2025 menunjukkan pencapaian wanita di negara ini terus meningkat apabila Indeks Jurang Gender Malaysia merekodkan skor 0.708 pada 2024 berbanding 0.705 pada 2023.

Katanya, wanita turut mengatasi lelaki dalam subindeks pendidikan, namun jurang masih ketara dalam aspek penyertaan politik yang memerlukan perhatian berterusan.

Di Sarawak, katanya, wanita juga mencatat prestasi memberangsangkan dalam bidang pendidikan. Namun, usaha perlu diteruskan bagi memperkukuh penyertaan mereka dalam kepimpinan, ekonomi dan proses membuat keputusan supaya pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara lebih inklusif dan seimbang.

Sehubungan itu, kementerian melalui JWKS terus melaksanakan pelbagai program pembangunan kepimpinan, termasuk Program Kepimpinan Wanita, Kem Kepimpinan Belia serta pemberian biasiswa kepada wanita Sarawak untuk mengikuti Program Sarjana Sastera dalam Pembangunan Kepimpinan di Asian University for Women Leadership College.

Beliau berharap Program Kepekaan Gender: Menjana Perubahan di Tempat Kerja 2026 menjadi pemangkin kepada perubahan minda dan budaya kerja yang lebih progresif, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai pemerkasaan gender serta menyokong pembentukan persekitaran kerja yang inklusif, berdaya saing dan mampan demi kesejahteraan masyarakat.

Oleh Liong Chai Ling

Continue Reading

Previous: Petani perlu beralih kepada produk hiliran bernilai tinggi
Next: Vape wajar diharamkan, saluran baharu penularan dadah sintetik – Abdul Karim

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.