
PETALING JAYA: Kenaikan harga minyak yang berkaitan dengan krisis Asia Barat dan pelaksanaan pengecualian cukai ke atas kenderaan elektrik (EV) oleh kerajaan dijangka mendorong lebih ramai beralih kepada EV, kata pakar.
Editor MotaAuto.com Chips Yap berkata Malaysia telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan infrastruktur pengecasan yang agresif sejak tiga tahun lepas, yang telah meningkatkan ketersediaan stesen dan memperkukuh keyakinan terhadap pemilikan EV.
“Oleh itu, jika mereka mempunyai keyakinan untuk memiliki EV, itu amat baik untuk industri dan kerajaan akan gembira melihat perkara itu berlaku.
“Sudah tentu, harga minyak terus meningkat. Semua orang merasakan tekanan bahawa penggunaan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) menjadi amat mahal,” katanya kepada Bernama selepas majlis pelancaran buku, Malaysia Car of the Year 2025 di sini hari ini.
Selain itu, Yap berkata kerajaan telah memacu pertumbuhan jualan EV secara berkesan dengan memperkenalkan pengecualian cukai untuk EV.
Beliau berkata beberapa pengeluar telah menerima pakai inisiatif ini, menghasilkan EV yang dipasang dalam negara membantu mengekalkan harga pada tahap mampu milik.
“Trend ini akan berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun lagi dan kita mempunyai EV mampu milik.
“Saya fikir itu akan membantu kerajaan mencapai matlamatnya untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia membeli EV dan mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Hari ini, Mobility Media Sdn Bhd melancarkan Malaysia Car of the Year Annual Car Buyers’ Guide, yang menjadi panduan kepada pembeli kereta.
Yap, yang mempunyai pengalaman penulisan selama lebih 40 tahun dalam industri automotif berkata buku tersebut menghimpunkan artikel yang ditulis oleh 12 juri daripada pelbagai latar belakang, berusia antara pertengahan 20-an dan 70-an, mengenai persekitaran pasaran automotif pada 2025.
-Bernama