Kemudahan pendidikan berkualiti terus menjadi keutamaan kerajaan Sarawak

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTANGOR: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan infrastruktur pendidikan, khususnya di luar bandar, bagi menyediakan kemudahan pembelajaran yang lebih berkualiti, selesa dan kondusif kepada murid serta warga pendidik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata penyediaan kemudahan yang lengkap di sekolah merupakan pelaburan penting dalam usaha melahirkan generasi berilmu, berdaya saing serta memiliki sahsiah terpuji.

“Kerajaan Sarawak sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan sektor pendidikan kerana kemudahan yang berkualiti mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, sekali gus meningkatkan motivasi murid dan warga pendidik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi pembinaan pentas dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Gemuan, semalam.

Menurutnya, projek bernilai RM50,000 itu dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarikei dan berjaya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

PENYERAHAN PROJEK… Datuk Ding Kuong Hiing menyaksikan penyerahan projek RTP yang telah siap kepada pihak SK Gemuan. Foto Pusat Khidmat Meradong

“Pembinaan pentas dewan baharu ini merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak menerusi peruntukan RTP untuk meningkatkan kemudahan pendidikan di kawasan luar bandar.

“Kemudahan ini membolehkan pihak sekolah menganjurkan pelbagai program seperti perhimpunan rasmi, sambutan hari kebesaran, majlis penyampaian anugerah, aktiviti kokurikulum, persembahan kebudayaan, ceramah, seminar serta program yang melibatkan ibu bapa dan komuniti setempat dalam suasana yang lebih selesa dan selamat,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan projek RTP di kawasan DUN Meradong akan terus dipantau bagi memastikan setiap projek yang diluluskan disiapkan mengikut spesifikasi, tempoh pelaksanaan dan piawaian kualiti yang ditetapkan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada pembangunan kawasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKR Sarikei atas komitmen menyelia pelaksanaan projek sehingga berjaya disiapkan mengikut jadual, selain menghargai kerjasama pihak pengurusan SK Gemuan, kontraktor serta semua pihak yang terlibat sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.

“Saya berharap kemudahan baharu ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak sekolah dan komuniti setempat untuk menganjurkan pelbagai aktiviti yang menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan,” katanya.

Turut hadir Guru Besar SK Gemuan, Augustine Wendy Peter; Penolong Jurutera JKR Sarikei, Ariff; serta Pemanca Yii Hee Sieng.

Oleh Earl Anek