KUCHING: Penduduk setempat bakal menikmati kemudahan baharu dengan adanya projek pembinaan landasan pejalan kaki dan berbasikal di sepanjang Jalan Stutong ke persimpangan Lorong Song 3C, di sini yang dijangka siap pada 16 September nanti.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng berkata, projek tersebut merupakan yang kedua seumpamanya dibina di kawasan MBKS selepas yang pertama dibina pada tahun 2018 iaitu dari Lorong Keranji 4 ke Jalan Kedandi, dan melalui Pasar Stutong.
“Pembinaan projek ini telah bermula 17 September lalu dan siap dalam masa tiga bulan, ia menelan kos sebanyak RM460,000 iaitu diperuntukan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak.
“Landasan ini adalah sepanjang 1.2 kilometer dan mempunyai lebar 2.5 meter iaitu 1.6m untuk laluan basikal, manakala 0.9 meter untuk laluan pejalan kaki,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan tapak projek bertempat di Jalan BDC, di sini, semalam.
Tambahnya, tujuan landasan tersebut dibina adalah dalam usaha untuk menjadikan Kuching sebagai bandar raya sihat dan menggalakkan rakyat untuk melakukan aktiviti sihat.
“Dengan adanya laluan pejalan kaki dan berbasikal ini, ia akan memudahkan masyarakat setempat yang tinggal berdekatan untuk melakukan senaman dan tidak perlu memandu untuk pergi ke lokasi reakreasi lain.
“Projek ini sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) 11 – Bandar dan Komuniti yang Lestari.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha MBKS untuk merealisasikan visi kota Kuching yang bersih, hijau, indah, dan hidup,” jelasnya sambil menambah pihaknya sentiasa menggalakkan senaman yang lebih sihat seperti berbasikal, berjalan kaki, atau berjoging tersebut.
Menurutnya, beberapa minggu lalu pihaknya ada melihat orang ramai berjoging di sekitar jalan raya, dan ia merupakan sebab pihaknya berusaha untuk memberi ruang kepada orang untuk bersenam ditempat yang lebih selamat dan dibina berhampiran kawasan perumahan sebagai kemudahan penduduk.
Oleh Zarina Abdullah