PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mencadangkan sambutan Hari Kaligrafi Perpaduan Nasional diadakan setiap 14 Ogos bersempena Hari Kaligrafi Sedunia.
Cadangan itu dikemukakan menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang yang mahu sambutan berkenaan diadakan di seluruh negara bagi membolehkan rakyat menghayati seni kaligrafi tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
“Sudah tiba masanya seni kaligrafi didukung sebagai ‘unity builder’ (memupuk perpaduan) bagi mengeratkan hubungan silaturahim, kebersamaan dan muhibah dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas perasmian Konvensyen Kaligrafi Huichun Nasional Kali Pertama 2024.
Beliau berkata selain itu, KPN juga akan mempertimbangkan mengadakan Festival Kaligrafi Uniti yang melibatkan tulisan Jawi, Cina dan Tamil bagi memupuk kepelbagaian dalam masyarakat.
“Semoga program seumpama ini menjadi mercu tanda kejayaan dalam usaha memelihara dan memartabatkan kaligrafi Huichun sebagai satu lagi warisan berharga negara,” katanya.
Mengenai penganjuran konvensyen berkenaan, Aaron menyifatkan kesenian itu sebagai komitmen KPN dalam mempromosikan warisan budaya negara melalui inisiatif ‘Ini Warisan Kita’.
“Seni kaligrafi Huichun memegang peranan penting sebagai medium yang mencerminkan kepelbagaian budaya unik di Malaysia dan ia bukan sekadar seni tulisan visual tetapi ekspresi seni yang menggambarkan sejarah kepelbagaian dan keindahan Malaysia,” katanya.
Sepanjang 2023, pelbagai aktiviti dilaksanakan di bawah inisiatif ‘Ini Warisan Kita’, antaranya pameran etnik minoriti, program bersama masyarakat Ceti dan Siam, debat perpaduan, bicara bahasa kolokial, Foodunites dan pengajaran bahasa Siam.
Beliau berharap semangat inisiatif ‘Ini Warisan Kita’ akan menjadi keutamaan dalam membentuk perpaduan dan merayakan kepelbagaian sekali gus mencapai visi Membudayakan Perpaduan, Meraikan Kepelbagaian. – Bernama