KUCHING: Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebanyak 38 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah adalah sebuah majoriti yang meyakinkan.
Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok Datuk Ibrahim Baki berkata, keputusan ini adalah seperti yang dijangkakan meskipun terpaksa berhadapan saingan yang sengit.
“Bagi membentuk sebuah Kerajaan yang betul-betul stabil, saya rasa mereka memerlukan tujuh lagi kerusi.
“Walaubagaimanapun, mereka sudahpun berjaya memenangi PRN Sabah dan bakal membentuk Kerajaan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas selepas menyampaikan kuih bulan sempena Pesta Kuih Bulan di SJKC Chung Hua No. 4, di sini semalam.
Selain itu, Ibrahim turut menjelaskan bahawa Sarawak tidak mencampuri urusan berhubung penentuan bakal Ketua Menteri Sabah dan menyerahkan perkara tersebut sebulatnya kepada negeri itu sendiri.
“Kita (GPS) hanya menjaga negeri kita sendiri (Sarawak) dan tidak akan mencampuri apa yang berlaku di Sabah, malah kita juga tidak berkempen di sana,” tegasnya.
Di samping itu, beliau turut menegaskan bahawa GPS sememang menyokong PN dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan dahulu, tetapi bukan salah satu daripada mereka (PN).
“GPS berdiri sendiri dan terpisah daripada PN, disebabkan itu Kerajan Persekutuan dikenali sebagai Kerajaan PN Plus GPS,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai Pilihan Raya Mengejut (Snap Election) akan dilakukan di peringkat Persekutuan susulan daripada pengumuman Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Kerajaan masih ada, sekiranya ada pihak yang mengatakan mereka ingin membentuk Kerajaan, mereka perlu menunjukkan ‘angka’ tersebut dan membiarkan Yang Dipertuan Agong akan membuat keputusan,” ujarnya lagi.
Terdahulu, GRS yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) telah berjaya menewaskan Warisan Plus yang hanya memperoleh 32 kerusi.
Oleh Akmal Adib Yusup