
KUCHING: Kemenangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam pemilihan parti baru-baru ini mencerminkan kestabilan dan kematangan politik parti tersebut dalam landskap politik negara.
Naib Presiden PBB, Datuk Len Talif Salleh, berkata proses pemilihan berjalan lancar tanpa sebarang insiden, menunjukkan perpaduan kukuh dalam kalangan ahli parti.
“Kemenangan ini bukan soal siapa yang menang atau kalah, tetapi lebih kepada bagaimana proses pemilihan berlangsung dengan baik, dan teratur.
“Ia membuktikan kematangan politik PBB serta semangat kekeluargaan yang terus menjadi pegangan parti,” katanya ketika ditemui media pada majlis malam apresiasi bersama Datuk Len Talif Salleh di Star on Stage, malam tadi.
Len Talif turut merakamkan penghargaan kepada semua perwakilan, pemerhati, dan calon yang bertanding atas komitmen mereka dalam memastikan pemilihan berjalan dengan harmoni.
Menurutnya, budaya politik PBB yang mengutamakan kestabilan dan perpaduan wajar dijadikan contoh dalam politik Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut mengakui peranan penting media dalam menyampaikan maklumat kepada rakyat, terutama berkaitan pembangunan negeri Sarawak.
“Saya berterima kasih kepada pihak media yang sentiasa komited berkongsi maklumat dengan rakyat mengenai pembangunan di Sarawak.
“Ini termasuk liputan media terhadap Konvensyen Ke-16 PBB, yang memberi peluang kepada rakyat Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya memahami hala tuju politik negeri,” tambahnya.
Selain itu, Len Talif turut menegaskan komunikasi yang berkesan antara kerajaan dan media amat penting bagi memastikan rakyat mendapat maklumat tepat mengenai dasar serta inisiatif pembangunan yang dijalankan kerajaan negeri.
“Kerjasama ini harus diteruskan agar rakyat sentiasa menerima informasi yang jelas dan benar mengenai usaha pembangunan yang sedang dan akan dijalankan,” katanya.
Oleh Masrin Afirah / Amanda L.