KUCHING: Memasak sebagai hobi berpotensi dikembangkan menjadi satu profesion atau kerjaya dalam industri pelancongan makanan yang semakin berkembang pesat di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata makanan juga merupakan salah satu aspek penting dalam usaha kerajaan Sarawak mempromosikan industri pelancongan ke dunia luar.
”Makanan ialah aspek penting dalam memberikan pengalaman budaya. Pelancongan makanan memainkan peranan penting dalam pemasaran destinasi.
”Pelancong sentiasa merancang tempat untuk dilawati, perkara yang dilakukan termasuk tempat untuk mencari makanan dan minuman yang sedap.
”Maka sebab itulah pelancongan makanan merupakan salah satu cara untuk menarik pelancong dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ’Brilliant Chef 2.0’ dan Demonstrasi Masakan di Restoran Hoi Tin Lau, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Wilfred turut memuji usaha Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuching (KCGCCI) dan Persatuan Tukang Masak How Yu dalam menganjurkan program sedemikian bagi menarik minat lebih ramai generasi muda dalam industri itu.
”Program seperti ini amat penting kerana ia akan menggalakkan lebih ramai generasi muda terlibat dalam industri makanan dan minuman yang merupakan salah satu pemacu pertumbuhan dan kemampanan ekonomi kita.
”Dengan peningkatan penyertaan generasi muda dalam industri ini, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan di Sarawak,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan pemberian geran sebanyak RM6,000 kepada pihak penganjur sebagai cerminan sokongannya terhadap acara itu.
Turut hadir ialah Presiden KCGCCI, Dato Tan Jit Kee; Presiden Persatuan Tukang Masak How Yu Kuching; Chef Goh Ah Seng dan Setiausaha Agung KCGCCI, Dato Jonathan Chai Voon Tok.
Oleh RYNNA SHA’ERRA