SIBU: Daripada mulanya sembilan rumah, kebakaran di Kampung Hilir Sibu petang semalam merebak dengan cepat hingga membabitkan 17 rumah.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, api merebak dengan begitu cepat dalam kejadian kira-kira jam 6.43 petang semalam.
“Ini kerana kedudukan rumah-rumah tersebut agak rapat dan pada masa sama tiupan angin yang kencang,” katanya hari ini.
Dalam kejadian itu, pada awalnya, kebakaran hanya melibatkan sembilan rumah namun api telah merebak hingga menyebabkan lapan lagi rumah turut musnah.
Kebakaran melibatkan beberapa rumah kediaman jenis struktur tidak kekal.
Selain pasukan BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Jaya, orang awam turut membantu memadam kebakaran.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dlaporkan berlaku.
Berikutan itu, 156 penduduk hilang tempat berteduh dan mereka kini ditempatkan di Surau Darul Ma’wa Kampung Bharu, Sibu dan sebahagiannya tinggal di rumah saudara mara.
Oleh TARANI LANTING