SIBU : Seorang pemandu lelaki meninggal dunia setelah terlibat dalam kemalangan kendiri apabila kereta dipandunya dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sebatang pokok di tepi Jalan Bawang Assan, Kampung Bukit Bedai pagi tadi.
Mangsa yang berusia 70 tahun tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pasukan penyelamat menggunakan ‘spinal board’ (kegunaan menjaga tulang belakang) dalam usaha kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tidak sedarkan diri.
Jurucakapnya berkata, pihaknya terima makluman daripada Pasukan Khas Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) mengenai kemalangan itu pada jam 7.35 pagi tadi.
“Kami segera mangarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah untuk ke lokasi kejadian, diketuai oleh Komander Operasi PBK II Mohd. Faizal Bujang,” katanya.
Beliau berkata berjaya dikeluarkan pada jam 8.12 pagi dan diberi rawatan awal oleh unit EMRS sementara menunggu ketibaan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Oleh RAIHAN OMERA KAUSAR