KUCHING: Seramai 150 pelajar daripada 15 sekolah di seluruh Sarawak bakal menyertai Kem Komunikasi Belia (YCC) Toastmasters Antarabangsa ke-14 yang berlangsung di Kem Putra Sentosa, Sematan, dari 29 hingga 31 Ogos ini.
Program tiga hari anjuran Kelab Toastmasters Kuching (KTMC) itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan keyakinan diri dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Pengarah Divisyen D merangkap Distinguished Toastmaster (DTM), Liu San Liang berkata, program tahun ini turut melibatkan sukarelawan tempatan serta fasilitator antarabangsa dari Kuching dan luar negara.
“Peserta akan menjalani latihan secara praktikal yang merangkumi penulisan ucapan, teknik persembahan, penggunaan bahasa tubuh, tatabahasa serta penguasaan bahasa Inggeris,” katanya.
Menurutnya, YCC yang diperkenalkan sejak 2012 berteraskan tiga aspek utama, iaitu pengucapan awam, kemahiran kepimpinan dan pembinaan pasukan, serta mengetengahkan bakat peserta.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur YCC, Sahil Dev berkata, komunikasi bukan sekadar kebolehan bertutur, sebaliknya menjadi jambatan untuk membina hubungan, menyemai kebanggaan terhadap budaya serta keberanian menyampaikan idea yang memberi impak.
Katanya, selain mengikuti sesi pembelajaran, peserta akan menyertai pelbagai aktiviti yang dirangka bagi memupuk kerjasama, semangat berpasukan dan kepercayaan antara satu sama lain.
Kem berkenaan akan mencapai kemuncaknya pada hari ketiga menerusi acara kemuncak ‘Berikan Perhatian Anda’, iaitu pertandingan pidato yang memberi peluang kepada peserta terpilih mempamerkan kebolehan berucap serta bakat masing-masing di hadapan barisan juri.
Sahil turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah selaku penaung atas sokongan berterusan terhadap program berkenaan.
Penghargaan turut diberikan kepada Timbalan Menteri Pengangkutan II, Datuk Henry Harry Jinep atas sokongan terhadap penyertaan pelajar dari Bau, selain penaja korporat, sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang membantu memastikan program itu dapat disertai pelajar daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.
KTMC merupakan organisasi pendidikan bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran pengucapan awam, komunikasi dan kepimpinan, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang lebih yakin serta berkeupayaan menghadapi cabaran pada peringkat tempatan dan antarabangsa.




