
SIMANGGANG: Kelab Belia Perdana Sri Aman (BELDANA) akan menganjurkan Pertandingan Sepak Takraw Terbuka Sri Aman 2025 yang akan diadakan pada 11 hingga 13 April depan.
Menurut pengerusi penganjur, Alexander Frusis, berkata pertandingan itu bakal menyaksikan Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman sebagai medan utama persaingan itu kelak.
“Pertandingan ini akan dipertandingkan dua kategori utama iaitu kategori lelaki terbuka dan kategori bakat baru bersih untuk pemain berumur 20 tahun kebawah.
“Bagi kategori lelaki terbuka adalah terhad kepada 24 pasukan dan bagi kategori bakat baru bersih terhad kepada 16 pasukan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, pertandingan kali ini yang akan bakal mendapat sambutan hangat dengan menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala dan pingat, naib juara RM700, piala, pingat dan ketiga bersama pula mendapat RM250 dan pingat bagi kategori regu lelaki terbuka.
Bagi kategori bakat baharu bersih pula, hadiah wang tunai berjumlah RM500, piala dan pingat bagi pasukan juara, RM300, piala dan pingat untuk pasukan naib juara serta RM100 dan pingat bagi pasukan ketiga bersama.
“Untuk menyertai kejohanan ini, yuran penyertaan bagi kategori lelaki terbuka adalah sebanyak RM100, manakala bagi kategori bakat baru bersih adalah RM50,” katanya sambil menambah tarikh tutup penyertaan adalah pada 7 April 2025.
Dalam pada itu, Alexander menjelaskan pihak penganjur turut menyediakan tiga hadiah sampingan iaitu anugerah pemain terbaik keseluruhan, pemain harapan (belia) dan pengadil terbaik.
Untuk pendaftaran serta pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi Alexander Frusis di talian 017-7117905.
Oleh Adi Safarman