
SARATOK: Selain penyumbang utama kepada pembangunan sukan negara, kejohanan sukan tahunan di peringkat sekolah juga dilihat sebagai platform terbaik dalam usaha melahirkan atlet cemerlang dalam kalangan pelajar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata melalui penganjuran sukan tahunan juga mampu dijadikan sebagai medan untuk melahirkan pemimpin berwibawa untuk masa depan.
“Saya sangat kagum melihat kesungguhan dan semangat daya saing yang telah ditunjukkan oleh para pelajar yang bertanding selama beberapa hari sehinggalah ke hari kemuncaknya hari ini.
“Berdasarkan semangat itu adalah tidak mustahil Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok ini akan terus melahirkan atlet-atlet cemerlang bukan hanya dalam bidang sukan tetapi juga bidang akademik selepas ini,” katanya semasa merasmikan majlis Penutupan Kejohanan Sukan Olahraga, Balapan dan Padang SMK Saratok kali ke-58 di Kompleks Sukan Mini Saratok, petang tadi.
Friday turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang bertanding dan diharapkan kepada yang kurang bernasib baik dapat berusaha dengan lebih gigih lagi untuk meraih kemenangan pada masa akan datang.
“Kejayaan akan datang sekiranya kita berusaha dengan lebih gigih. Oleh itu, teruskan berusaha dalam apa saja bidang sama ada dalam sukan mahupun bidang yang lain,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Saratok, Awet Gapor berkata penganjuran aktiviti sukan seumpamanya adalah selari dengan kehendak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin melihat lebih banyak bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah dalam bidang sukan dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Objektif penganjuran sukan tahunan seperti ini adalah untuk kita mengenalpasti dan mengilap bakat-bakat baharu dalam kalangan pelajar sebelum ke peringkat yang lebih tinggi.
“Selain merapatkan hubungan silaturahim dan perpaduan ia juga mampu mewujudkan semangat daya saing dan jati diri dalam kalangan murid,” katanya yang turut melontarkan cabaran kepada barisan atlet SMK Saratok untuk mengekalkan kejuaraan pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Bahagian Betong (MSSB) yang akan datang setelah berjaya bergelar juara keseluruhan pada tahun lepas di Betong.
Terdahulu, kejohanan ini memperlihatkan persaingan antara empat rumah sukan iaitu Rumah Biru, Rumah Kuning, Rumah Hijau dan Rumah Merah. Pasukan Rumah Merah dinobatkan sebagai juara keseluruhan setelah berjaya mengumpul sebanyak 374 mata keseluruhan.
Manakala johan perbarisan pula dimenangi oleh Rumah Biru dengan kutipan mata sebanyak 100 mata.
Antara objektif utama penganjuran adalah untuk melahirkan lebih ramai murid berpotensi dan aktif dalam bidang sukan untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi. Selain memupuk semangat daya saing secara sihat dalam kalangan murid, guru dan ibubapa terlibat.
Sebanyak 38 rekod baharu berjaya dicipta sepanjang kejohanan berlangsung dengan menyaksikan sebanyak 25 rekod baharu bagi kategori individu dan enam bagi kategori berpasukan.
Oleh Adi Safarman