Kejohanan Golf Piala Cabaran P.194 Petra Jaya perkukuh silaturahim komuniti

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
 KEJOHANAN Golf Piala Cabaran P.194 Petra Jaya 2026 dijadual berlangsung pada 2 Ogos depan di Kelab Golf Sarawak (KGS), Kuching. Foto UKAS

KUCHING: Kejohanan Golf Piala Cabaran P.194 Petra Jaya 2026 kembali bagi edisi ke-17 dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong dipilih sebagai tuan rumah, sekali gus meneruskan tradisi penganjuran yang menjadi wadah memperkukuh hubungan komuniti di bawah Parlimen Petra Jaya.

Kejohanan yang dijadual berlangsung pada 2 Ogos di Kelab Golf Sarawak (KGS) itu dijangka menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada DUN Tupong, DUN Samariang dan DUN Satok.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie berkata, kejohanan tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof, sekali gus mengekalkan kesinambungan acara komuniti yang telah dianjurkan sejak 2008.

Sementara itu, dalam teks ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman yang dibacakan oleh Ketua Pasukan DUN Tupong, Talhah Effendi, beliau berkata kejohanan berkenaan bukan sekadar medan persaingan sukan, malah menjadi platform menyatukan masyarakat serta memupuk semangat kesukanan dalam kalangan penduduk Parlimen Petra Jaya.

 PIALA pusingan Kejohanan Golf Piala Cabaran P.194 Petra Jaya 2026 diperkenalkan pada sidang media di Kuching sebagai simbolik penganjuran edisi ke-17 kejohanan berkenaan. Foto UKAS

Menurutnya, penganjuran itu turut menggalakkan amalan gaya hidup sihat, memperluaskan jaringan kerjasama dalam kalangan komuniti serta mengukuhkan hubungan antara masyarakat dengan kepimpinan setempat.

Beliau berkata, kejohanan yang memasuki edisi ke-17 itu diharap terus menjadi acara tahunan yang mampu memperkukuh perpaduan, mencungkil bakat baharu dalam sukan golf serta menjadi simbol persahabatan dan semangat kesukanan masyarakat di Petra Jaya.

Selain kategori berpasukan melibatkan tiga DUN di bawah Parlimen Petra Jaya, kejohanan itu turut mempertandingkan kategori individu, Ladies Trophy, VIP dan jemputan.

Para peserta juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk trofi, wang tunai, peralatan golf, baucar membeli-belah serta hadiah cabutan bertuah.

Perpaduan, belia pemacu kemajuan Sarawak

SERIAN: Semangat perpaduan rakyat pelbagai kaum dan penglibatan aktif golongan belia perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan Sarawak dapat diteruskan