Kejohanan Esports untuk para belia bakal diadakan awal Oktober ini di Balai Ringin menurut Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan sekali gus bercadang dan berbincang dengan pihak Persatuan Sukan Elektronik Negeri Sarawak (SESA) untuk membawa esports ke kawasan luar bandar.
“Oleh itu, kita ingin mulakan di kawasan saya sendiri iaitu Balai Ringin, menggunakan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin yang cukup luas untuk menempatkan lebih kurang 700 orang.
“Dan kita juga dapati, akses kepada internet di kawasan tersebut adalah sangat baik dan kita boleh adakan acara esports di sana,” ujarnya.
Beliau turut mengatakan acara tersebut dijangka akan di adakan dalam masa terdekat iaitu pada awal Oktober ini.
“Kita juga telah mendapat cadangan dan permintaan dari warga belia di Kapit bagi mengadakan acara sama di sana.
“Bagi saya, itu adalah satu cadangan yang baik dan kita mungkin akan adakan kejohanan itu di sana nanti kerana akses internet juga berada dalam keadaan baik di kawasan seperti Dewan Suarah Kapit,” jelas Snowdan.
Terdahulu, beliau memberitahu beberapa persatuan sukan kecil di negeri ini turut ingin mengadakan kejohanan bagi esports.
“Namun, saya nasihatkan mereka untuk berada dibawah payung SESA agar mereka dapat dibantu dan berkolaborasi dengan SESA dalam menganjurkan sukan esports.
“Jika mereka memerlukan sokongan atau bantuan dari Kementerian, mereka boleh memohon melalui SESA,” katanya.
Beliau menambah kebanyakkan cadangan bagi penganjuran pertandingan esports adalah untuk diadakan secara offline dan bukan secara online yang hanya boleh dilangsungkan dari rumah sahaja.
“Kita faham kerana secara offline, para pemain dapat merasakan suasana perlawanan yang lebih mengujakan dan lebih seronok.
“Oleh itu, kita juga mohon, jika terdapat penganjuran pertandingan ini nanti, mereka haruslah mematuhi garis panduan (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.
Oleh Alexandra Lorna