SARIKEI: Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah Sarikei 2026 bukan sekadar menjadi pentas persaingan merebut kejuaraan, malah berjaya memupuk semangat perpaduan, disiplin dan kesukanan dalam kalangan pemain.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, setiap kejohanan sukan membawa nilai yang jauh lebih besar daripada kemenangan, iaitu membentuk sahsiah, mengeratkan persahabatan dan menyemai semangat saling menghormati.
“Pada malam ini, kita berkumpul bukan sahaja untuk meraikan kejayaan kejohanan ini, malah untuk mengenang segala usaha, pengorbanan dan kenangan indah yang telah tercipta sepanjang pertandingan berlangsung.
“Saya memahami bahawa bukan mudah untuk bangun awal setiap hari menjalani latihan, mengekalkan semangat ketika keletihan dan terus berjuang sehingga wisel penamat dibunyikan.
“Namun, anda semua telah membuktikan bahawa walau apa jua cabaran yang dihadapi, semangat juang tidak pernah luntur,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam penghargaan Kejohanan Bola Keranjang Antara Daerah Sarikei 2026 di sebuah restoran, baru-baru ini.
Tiong Sii turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang berjaya muncul juara, sambil menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil latihan yang konsisten, disiplin yang tinggi dan kepercayaan kukuh antara rakan sepasukan.
“Namun, saya ingin mengingatkan bahawa kemenangan ini bukanlah penamat, sebaliknya merupakan permulaan kepada perjalanan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Kepada pasukan yang tidak berjaya membawa pulang trofi kali ini, saya ingin mengatakan bahawa anda juga adalah pemenang di hati saya.
“Kekalahan di gelanggang bukan bererti anda gagal, sebaliknya ia merupakan pengalaman yang amat berharga. Saya percaya pengalaman ini akan menjadikan anda lebih kuat, lebih matang dan lebih bersedia untuk menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan dalam memajukan pembangunan sukan di negeri ini sehingga membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda mengembangkan bakat.
“Sepanjang kejohanan ini, kita telah menyaksikan semangat kesukanan yang sebenar.
“Walaupun para pemain bersaing sebagai lawan di gelanggang, mereka tetap mengekalkan sikap saling menghormati, menyokong dan menghargai antara satu sama lain.
“Pada pandangan saya, inilah nilai paling berharga yang dibawa oleh sukan. Marilah kita terus memupuk semangat perpaduan, persahabatan dan kecemerlangan melalui sukan, demi melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam pertandingan, malah mempunyai sahsiah yang tinggi serta mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri Sarawak,” katanya lagi.
Di majlis sama, beliau mengumumkan sumbangan tambahan RM20,000 kepada Kelab Bola Keranjang Repok bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunannya.
Dengan sumbangan RM20,000 yang telah disampaikan semasa majlis perasmian pembukaan kejohanan minggu lalu, jumlah keseluruhan peruntukan yang disalurkan kepada kelab tersebut kini meningkat kepada RM40,000.
Oleh Earl Anek





