
NEW YORK: Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez mengakui kejayaan yang dikecapi pasukannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini adakalanya membuatkan beliau menitiskan air mata ketika mereka memburu gelaran Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut pada final menentang Sepanyol, 3.00 pagi Isnin ini (waktu Malaysia).
“Saya hanya fokus untuk menang. Seluruh pasukan telah banyak meningkat dan inilah hasil yang kami bina selama bertahun-tahun,” kata penjaga gol Aston Villa itu kepada pemberita di New York menjelang final di Stadium MetLife.
Argentina muncul juara Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir.
Mereka turut memenangi Copa America pada 2021 dan 2024, selain menewaskan Itali dalam aksi Finalissima 2022 yang mempertemukan juara Amerika Selatan dan juara Eropah.
“Sejujurnya, kadang-kadang saya menangis sendirian apabila memikirkan apa yang telah kami capai. Saya hanya mahu menikmati detik ini kerana sebagai pemain bola sepak, ada masanya kita sendiri tidak sedar sejauh mana perjalanan kerjaya kita,” kata Martinez.
“Pesanan saya kepada rakan sepasukan ialah nikmatilah saat ini dan buat persiapan dengan senyuman di wajah. Inilah kenangan yang akan kekal bersama kami buat selama-lamanya.”
Penjaga gol berusia 33 tahun itu akan sentiasa dikenang oleh rakyat Argentina atas peranannya yang begitu besar dalam kejayaan Piala Dunia 2022, termasuk melakukan satu aksi menyelamat luar biasa pada penghujung masa tambahan bagi menggagalkan percubaan Randal Kolo Muani yang hampir menghadiahkan kemenangan kepada Perancis.
Argentina ketika itu mendahului 2-0 di Doha sebelum dua gol lewat Kylian Mbappe mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Sepakan penalti Lionel Messi kemudian meletakkan Argentina kembali di hadapan, namun Mbappe melengkapkan hatrik menerusi satu lagi sepakan penalti bagi memaksa penentuan sepakan penalti.
“Dalam final yang lalu, kami jauh lebih baik daripada Perancis selama 80 minit sebelum mereka memperoleh sepakan penalti. Namun akhirnya kami melepaskan tiga gol dan lazimnya apabila anda dibolosi tiga gol dalam final, peluang untuk kalah adalah lebih tinggi,” katanya.
“Saya hanya perlu melakukan satu aksi menyelamat pada penghujung perlawanan. Kadang-kadang bola terkena badan kita dan masuk ke gawang. Ketika menentang Jordan (dalam peringkat kumpulan tahun ini), bola terkena saya dan masuk. Baru-baru ini pula bola melepasi celah kaki saya. Syukurlah dalam final itu ia tidak berlaku.”
Martinez mengakui beliau lebih menikmati kempen Piala Dunia kali ini berbanding edisi 2022, walaupun memasuki kejohanan dalam keadaan cedera selepas mengalami keretakan jari ketika beraksi bersama Aston Villa dalam final Liga Europa pada Mei lalu.
“Saya rasa permainan menggunakan kaki saya lebih baik, keputusan yang saya buat juga jauh lebih tepat dan saya amat bersyukur kerana dapat beraksi dalam final kelima bersama pasukan ini,” katanya.
Argentina berpeluang menjadi negara pertama sejak Brazil pada 1962 mempertahankan kejuaraan Piala Dunia jika berjaya menewaskan Sepanyol di Stadium MetLife, New Jersey.
“Kebanyakan pemain dalam pasukan ini berasal daripada keluarga kelas pekerja,” kata Martinez.
“Ibu bapa kami bekerja keras dan saya percaya rakyat Argentina akan mengingati kami sebagai individu yang kuat bekerja serta tidak pernah mengaku kalah. Walaupun keadaan sukar, kami sentiasa berjaya mengatasinya, seperti yang kami lakukan dalam Piala Dunia kali ini,” katanya ketika ditanya mengenai legasi yang ingin ditinggalkan oleh pasukan itu. — AFP




