ROBAN: Penghuni di Rumah Jackison Erry, Ulu Roban kini berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan runtuhan yang berlaku di kawasan bukit belakang rumah panjang terbabit, semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok Leftenan (PA) Nur Athirah Batu berkata pihaknya telah menerima panggilan daripada Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban berhubung kejadian tanah susur tersebut.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati berlakunya kejadian tanah susur di belakang rumah milik seorang penduduk di rumah panjang terbabit.
“Anggota APM mendapati sebuah reban ayam milik seorang penghuni rumah panjang itu telah terjejas akibat runtuhan tersebut dan dinding hujung bilik penghuni hampir terkena runtuhan.
“Anggota turut memeriksa keadaan di sekeliling dalam rumah tersebut dan tiada melihat sebarang rekahan di dinding bilik rumah panjang itu,” katanya.
Nur Athirah berkata menurut apa yang dikatakan pengadu beliau menyedari kejadian runtuhan di belakang rumahnya itu semasa hendak keluar memberi makan ayam dan turut memberitahu runtuhan tersebut disebabkan hujan tanpa henti sejak dari petang semalam hingga ke pagi tadi.
Dalam pada itu, katanya, anggota APM Saratok telah memasang pita keselamatan supaya penduduk rumah panjang sentiasa berhati-hati kerana masih ada pergerakan tanah dan berkemungkinan untuk runtuh.
“Anggota APM telah menasihati penghuni rumah panjang yang terlibat agar lebih peka dengan keadaan sekeliling dan berpindah dengan segera sekiranya berlaku lagi kejadian tersebut,” katanya.
Nur Athirah menambah, insiden tersebut tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan, dan jika ada sebarang kes kecemasan, sila hubungi nombor talian kecemasaan PKOD Saratok ditalian 011-31413012 atau 083-436094.
Oleh ADI SAFARMAN