SARIKEI: Kepulan asap tebal dari salah sebuah kedai menjual ubat herba di Jalan Repok menarik perhatian orang awam yang berada berhampiran dengan kedai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, PPgB Mahmudin Narudin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berkenaan kebakaran kedai tersebut pada jam 2.04 pagi semalam.
“Seramai lapan anggota bomba yang diketuai PBK II Bakar Ujang bergegas ke lokasi kebakaran setelah menerima panggilan kecemasan.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kedai menjual ubat herba struktur kekal,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak, pagi semalam.
Katanya, kedai tersebut terbakar 40 peratus dan kebakaran berlaku di bahagian belakang kedai.
“Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak pada jam 2.46 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan oleh pasukan bomba.
“Operasi pemadaman api tamat sepenuhnya pada jam 3.46 pagi. Kebakaran tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. Tambahnya, turut berada di lokasi kebakaran ialah tiga anggota polis dan empat kakitangan SESCo.
Oleh Earl Anek