SHEILA ZAIDI
KUCHING : Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak membenarkan semua kedai ‘hardware’ di negeri ini untuk beroperasi dua kali dalam seminggu.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datuk Abdul Karim Rahman berkata, perkara itu diputuskan oleh pihak jawatankuasa dalam satu mesyuarat semalam.
“Kita memutuskan perkara ini selepas mendengar keluhan serta permintaan rakyat dan sudah tentunya selepas menimbang daripada pelbagai sudut.
“Oleh yang demikian, bagi memudahkan urusan seharian rakyat di negeri ini, kedai ‘hardware’ dibenarkan beroperasi pada hari Selasa dan Khamis sahaja dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang,” katanya pada sidang media di Wisma Bapa Malaysia di sini semalam.
Menurut Karim, selain daripada kedai ‘hardware’, kedai yang menjual input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan juga dibenarkan dibuka dua kali seminggu iaitu pada hari Selasa dan Khamis dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 petang.
Katanya, kedai menjual alat tukar ganti seperti jentera pertanian dan industri juga dibenarkan dibuka pada hari dan tempoh yang sama.
Dalam sidang media tersebut, Karim turut mengumumkan semua individu bukan warganegara yang dalam perjalanan melalui udara, laut atau darat tidak dibenarkan transit di Sarawak berkuatkuasa serta merta.
Tambahnya, penerbangan dari Kuala Lumpur – Sibu – Kuala Lumpur juga dibatalkan sehingga 14 April 2020 nanti.
Semua langkah ini diambil bagi membantu mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini, tegasnya.
Beliau turut memberitahu semua stok makanan untuk diagihkan di semua daerah telah dihantar mengikut perancangan. Katanya, rakyat tidak perlu bimbang berkenaan dengan bekalan makanan dan setakat ini tiada kekurangan bekalan yang dilaporkan di pasaran.