MPB perkukuh promosi global lada Sarawak, sasar pasaran antarabangsa

Facebook
WhatsApp
SESI Libat Urus Bersama Pedagang Lada Berkenaan GI Lada Sarawak serta Padanan Perniagaan antara pedagang dan pekebun lada yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah. Foto: MPB

KOTA KINABALU, 10 November: Usaha memperluas pasaran antarabangsa bagi Lada Sarawak terus diperkukuh menerusi pendekatan menyeluruh yang memberi tumpuan kepada kesediaan pemain industri, pematuhan peraturan serta penghasilan produk berkualiti tinggi.

Lembaga Lada Malaysia (MPB) dalam satu kenyataan memaklumkan, pengiktirafan Lada Sarawak sebagai produk premium di pasaran global perlu disokong keupayaan pedagang dan pekebun tempatan memenuhi kehendak perdagangan antarabangsa.

Sehubungan itu, MPB meneruskan inisiatif memperkukuh industri lada menerusi Sesi Libat Urus Bersama Pedagang Lada Berkenaan Peraturan dan Penggunaan Petunjuk Geografi (GI) Lada Sarawak serta Padanan Perniagaan (Business Matching) antara pedagang dan pekebun lada yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah, baru-baru ini.

Program berkenaan merupakan kesinambungan usaha promosi antarabangsa yang dilaksanakan MPB menerusi saluran media antarabangsa pada 15 Oktober lalu bagi meningkatkan pengiktirafan dan permintaan terhadap Lada Sarawak.

Melalui sesi libat urus itu, pedagang diberikan penerangan mengenai peraturan penggunaan GI bagi memastikan identiti, ketulenan dan keaslian Lada Sarawak terus dilindungi.

Pada masa sama, pekebun turut didedahkan kepada standard pengeluaran lada premium supaya hasil tanaman mereka memenuhi spesifikasi dan keperluan pasaran antarabangsa.

Program padanan perniagaan pula menyediakan platform kepada pedagang dan pekebun untuk berinteraksi secara langsung, membincangkan keperluan bekalan serta meneroka peluang kerjasama komersial dalam industri berkenaan.

Peserta turut diberikan maklumat mengenai kemudahan bantuan insentif kepada usahawan serta perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) bagi menyokong perkembangan perniagaan dalam sektor lada.

Menurut MPB, usaha promosi di peringkat antarabangsa perlu disertai persediaan kukuh di peringkat industri tempatan, khususnya dari aspek pematuhan peraturan, konsistensi kualiti pengeluaran dan keupayaan memenuhi permintaan pasaran.

Pendekatan itu penting bagi memastikan Lada Sarawak bukan sahaja dikenali di peringkat global, malah terus mempunyai daya saing sebagai produk premium yang membawa identiti dan keunikan hasil pertanian Sarawak.

Oleh Adi Safarman