KUCHING, 11 November: Datuk Amar Dr Sim Kui Hian bakal terus menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah apabila diumumkan untuk mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.
Pengumuman itu dibuat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam ucapan ketika merasmikan majlis pelancaran Projek Pembinaan Jalan Batu Kawa ke Jalan Stephen Yong di Batu Kawah, hari ini.
Pengumuman berkenaan sekali gus memberikan gambaran bahawa Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu terus mendapat kepercayaan kepimpinan GPS untuk mempertahankan kerusi N.14 Batu Kawah pada pilihan raya akan datang.
Dr Sim, merupakan penyandang kerusi DUN Batu Kawah sejak PRN Sarawak 2016, kini turut menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Premier Sarawak.
Beliau juga menerajui Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Penglibatan Dr Sim dalam arena politik bermula pada PRN Sarawak 2011 apabila beliau bertanding di kerusi DUN Pending, namun tewas kepada calon DAP, Violet Yong Wui Wui.
Pada PRN 2016, beliau beralih ke Batu Kawah dan berjaya memenangi kerusi berkenaan, sebelum mempertahankannya sekali lagi pada PRN 2021.
Bagaimanapun, Dr Sim berjaya bangkit pada PRN 2016 apabila bertanding di Batu Kawah atas tiket Barisan Nasional (BN), sekali gus merampas kerusi itu daripada DAP dengan memperoleh 6,414 undi dan majoriti 2,085 undi.
Pada PRN Sarawak 2021, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan di bawah tiket GPS dengan memperoleh 7,827 undi, menewaskan calon DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang meraih 2,434 undi.
Kemenangan itu menyaksikan majoriti Dr Sim meningkat kepada 5,393 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Dari segi latar belakang, Dr Sim dilahirkan pada 18 Ogos 1965 dan merupakan seorang pakar kardiologi sebelum menceburi bidang politik.
Beliau juga merupakan anak kepada bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Datuk Amar Sim Kheng Hong.
Dr Sim memimpin SUPP sebagai presiden sejak 2014 dan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak pada Disember 2021 sebelum jawatan itu dikenali sebagai Timbalan Premier Sarawak berikutan perubahan gelaran pentadbiran negeri pada 2022.
Oleh Afiq Sallehi





