SARIKEI, 11 November: Jaringan jalan raya yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk rumah panjang, malah menjadi antara keperluan penting dalam merancakkan kegiatan ekonomi serta memperkukuh hubungan antara kawasan luar bandar dengan pusat bandar.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan infrastruktur asas perlu terus diberikan perhatian bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan menikmati kemudahan pembangunan.
Kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok, kemudahan jalan raya yang baik penting bagi melancarkan urusan harian penduduk, termasuk perjalanan ke tempat kerja, pusat pendidikan, kemudahan kesihatan dan kawasan kegiatan ekonomi.
“Usaha meningkatkan kemudahan asas di kawasan rumah panjang turut menjadi sebahagian daripada keutamaan pembangunan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Saya sentiasa mengambil berat tentang keperluan dan permintaan penduduk tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
“Justeru, pembangunan kawasan luar bandar terus diberi keutamaan melalui pelbagai peruntukan kerajaan bagi meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei.
Beliau berkata demikian kepada media ketika mengadakan lawatan meninjau perkembangan projek pembangunan infrastruktur di lima rumah panjang sekitar pada semalam.
Rumah panjang yang dilawati ialah Rumah Ugil Rebai, Rumah Lingga Ujang, Rumah Ngelai Ampawi, Rumah Bajut Pak dan Rumah Limbang Maling.
Lawatan tersebut memberikan peluang kepada Huang untuk melihat perkembangan projek di kawasan berkenaan, selain meneliti keperluan infrastruktur yang berkaitan dengan kehidupan harian penduduk.
Mengulas lanjut, katanya, pelbagai projek pembangunan luar bandar telah dilaksanakan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta peruntukan daripada jabatan dan agensi kerajaan lain.
“Antaranya termasuk menaik taraf jalan raya di kawasan luar bandar dan jalan rumah panjang, serta menaik taraf sistem perparitan bagi meningkatkan kemudahan penduduk setempat.
“Penambahbaikan jalan perhubungan dapat membantu penduduk bergerak dengan lebih mudah, khususnya bagi urusan mendapatkan perkhidmatan dan membawa hasil kegiatan ekonomi ke kawasan pemasaran.
“Pada masa sama, sistem perparitan yang diselenggara dengan baik penting bagi menyokong keadaan infrastruktur jalan dan pengaliran air di kawasan penempatan,” katanya.
Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas sokongan terhadap usaha pembangunan di kawasan Sarikei.
Beliau juga menegaskan bahawa keperluan masyarakat luar bandar akan terus diberikan perhatian melalui pelaksanaan projek kemudahan asas yang dapat meningkatkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk.
Oleh Earl Anek





