Kebun sawit di Kampung Bungin terbakar, APM dan bomba bertindak pantas

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN tanah kebun di sebuah kebun sawit di Kampung Bungin berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan APM Spaoh dan Bomba Sukarela, petang semalam. Foto: APM Betong

BUNGIN: Kebakaran tanah kebun di sebuah kebun sawit di Kampung Bungin berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh dan Bomba Sukarela, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 6.09 petang memaklumkan berlaku kebakaran di kebun berkenaan.

Menurutnya, kejadian dipercayai bermula sekitar 5.30 petang sebelum laporan diterima oleh Bilik Gerakan APM Spaoh.

OPERASI PEMADAMAN… Pasukan APM Spaoh, Bomba Betong dan Bomba Sukarela bertungkus-lumus memadam kebakaran di sebuah kebun sawit di Kampung Bungin, semalam.

“Pengadu memaklumkan kebakaran berlaku di kebun sawit milik bapanya dan memohon bantuan APM untuk memadamkan kebakaran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan laporan itu, empat anggota APM Spaoh bergerak ke lokasi pada 6.11 petang menggunakan sebuah ambulans pacuan empat roda dan tiba sekitar 6.20 petang.

Operasi turut melibatkan tiga anggota Bomba Betong serta enam anggota Bomba Sukarela bagi memastikan kebakaran dapat dikawal dengan segera.

Pasukan bertindak kemudian menjalankan operasi pemadaman sebelum kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada sekitar 7.10 malam.

API BERJAYA DIKAWAL… Anggota APM Spaoh bersama Bomba Betong dan Bomba Sukarela memadam kebakaran tanah kebun di Kampung Bungin yang berjaya dipadam sepenuhnya pada sekitar 7.10 malam.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” katanya.

Bagaimanapun, punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak berkaitan tidak melaporkan sebarang kejadian lain susulan insiden berkenaan.

Tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya mengelakkan kebakaran daripada terus merebak, sekali gus memastikan keselamatan penduduk serta kawasan sekitar terpelihara.

Oleh Adi Safarman