ASAJAYA: Sebuah kebun sawit persendirian di Kampung Tambirat Tengah, di sini, terbakar dalam kejadian kebakaran terbuka hari ini.
Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi pemadaman.
Operasi diketuai PBK I Andrew Mangga selaku Komander Operasi dengan kekuatan seorang pegawai dan lima anggota menggunakan sebuah jentera penyelamat dan pemadam kebakaran ringan (LFRT) Atego.
Setibanya di lokasi, pasukan bomba mengesahkan berlaku kebakaran terbuka yang melibatkan kawasan kebun sawit persendirian.
Anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan empat pemukul api (fire beater) bagi mengawal api dan bara yang masih menyala.

Usaha berkenaan berjaya memadamkan keseluruhan api dan bara di kawasan yang terjejas.
Kebakaran dianggarkan melibatkan kawasan seluas kira-kira 1.6 hektar.
Bagaimanapun, operasi pemadaman berdepan kesukaran berikutan sumber air yang terhad serta ketiadaan sumber air berdekatan yang mudah digunakan oleh pasukan bomba.
Keadaan sedikit membantu apabila terdapat kawasan pemisah api (fire break) di sekeliling kebun, termasuk parit dan tali air, yang membantu mengehadkan pergerakan api.
Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca api atau bara yang berpotensi menyebabkan kebakaran kembali merebak.
Operasi pemadaman berjaya diselesaikan sepenuhnya dengan keadaan di lokasi dilaporkan terkawal.
Punca kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami tidak diperincikan dalam kenyataan berkenaan.
Oleh Adi Safarman




