BINTULU: Sebuah lori treler membawa muatan buah sawit terbakar pada bahagian tayar dalam kejadian di Batu 8, Lebuh Raya Pan Borneo Bintulu-Miri, pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.31 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong digerakkan ke lokasi dengan bantuan BBP Bintulu.

Jentera bomba tiba di lokasi pada 7.48 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 15 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Mohamad Alimun Talip berkata, setibanya di lokasi didapati kebakaran melibatkan tayar sebuah lori treler yang membawa muatan buah sawit.
Pasukan bomba kemudiannya menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada pam jentera dengan sumber air daripada tangki Jentera Tangki Air BBP Bintulu.
Bagi memastikan api dipadam sepenuhnya, anggota bomba turut memadam muatan buah sawit di atas lori berkenaan bagi mengelakkan kebakaran berulang.

Pemandu lori berusia 59 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kebakaran berjaya dikawal pada 8.05 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 8.47 pagi setelah bomba memastikan tiada lagi punca kebakaran dan keadaan di lokasi adalah selamat.
Operasi melibatkan tujuh anggota bomba daripada BBP Kidurong dan BBP Bintulu dengan menggunakan sebuah Jentera Bomba Penyelamat Kompak (CFRT) serta sebuah Jentera Tangki Air.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian tersebut, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.
Oleh Faizah Muzidi





