SARIKEI: Kebakaran berlaku di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Sarikei (MDS), Jalan Selalang di sini, hari ini, melibatkan kawasan dianggarkan seluas 0.20 hektar.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 9.27 pagi.
Susulan itu, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei bersama sebuah jentera kenderaan penyelamat kebakaran ringan (LFRT) dan kenderaan pacuan empat roda dikerahkan ke lokasi sejauh 29 kilometer.

Pasukan diketuai PBK I Unjah Janggau tiba di lokasi pada 10.05 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan kawasan tapak pelupusan sampah.
Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan lain.
Kebakaran berjaya dikawal pada 10.30 pagi sebelum operasi pemadaman ditamatkan sepenuhnya pada 11.55 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Selepas api berjaya dipadamkan dan keadaan disahkan selamat, lokasi kejadian diserahkan kepada pihak MDS untuk tindakan selanjutnya.




