SPAOH: Operasi pemadaman kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin, Serembang, di sini memasuki hari kedua hari ini dengan 24 daripada keseluruhan 30 hektar kawasan terbakar berjaya dipadamkan.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, baki kawasan yang masih terbakar kini dianggarkan seluas enam hektar.
Operasi hari ini dibahagikan kepada dua sektor, iaitu Sektor A menggunakan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) dengan satu aliran air dan satu nozel bagi melakukan pemadaman secara terus dari bahagian tengah ke hadapan bagi mengelakkan api daripada terus merebak.
Sementara itu, Sektor B menggunakan sumber air terbuka dari parit dengan satu aliran air dan satu nozel. Pemadaman secara terus dilakukan dari bahagian tengah hingga ke belakang sebagai usaha mewujudkan jalur pemisah kebakaran.

Operasi yang melibatkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong itu ditangguhkan pada 6.00 petang tadi dan akan disambung semula esok.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong, Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi, mengetuai operasi yang turut mendapat sokongan Jabatan Alam Sekitar Sarawak, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan RELA.
Antara cabaran utama di lokasi ialah laluan yang sempit dan sukar dilalui, selain ketiadaan sumber air di kawasan terbakar serta litupan GIRN dan rangkaian telefon yang kurang memuaskan.
Bagi operasi esok, pasukan bomba akan membahagikan kawasan kepada empat sektor, iaitu Sektor A, B, C dan D bagi memperkemas gerakan pemadaman dan memastikan baki kebakaran dapat dikawal.

Operasi turut disokong sebuah jentera FRT, sebuah pacuan empat roda jenis Hilux, sebuah kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah Urvan dan sebuah lori tangki air.
PGO JBPM Sarawak memaklumkan usaha pemadaman akan diteruskan sehingga keseluruhan kawasan terjejas dapat dikawal dan api tidak lagi mengancam kawasan sekitar.
Oleh Adi Safarman




