Sarawak semakin menjadi pilihan pesakit antarabangsa – Dr Sim

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyampaikan ucapan alu-aluan pada Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Kuching di Metrocity, Matang, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA, 25 November: Peningkatan mutu perkhidmatan dan kepakaran perubatan tempatan menyaksikan Sarawak semakin mendapat perhatian pesakit antarabangsa, khususnya dari Indonesia, yang memilih negeri ini untuk mendapatkan rawatan.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan itu mencerminkan peningkatan keyakinan terhadap keupayaan sektor kesihatan negeri yang kini menawarkan kemudahan serta perkhidmatan perubatan berkualiti.

Menurutnya, pesakit dari Indonesia, termasuk Jakarta, kini semakin memilih Sarawak untuk mendapatkan rawatan berbanding beberapa destinasi lain seperti Johor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, perkembangan itu turut didorong oleh peningkatan kepakaran tenaga perubatan tempatan, selain kemudahan kesihatan yang semakin berkembang di negeri ini.

“Sepuluh tahun lalu, ramai pesakit dari Indonesia mendapatkan rawatan di tempat lain kerana tahap perkhidmatan kesihatan kita belum begitu baik.

“Kini, mutu perkhidmatan kita semakin meningkat sehingga ramai yang datang dari Jakarta untuk mendapatkan rawatan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Kuching di Metrocity, Matang, di sini, hari ini.

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Pusat Jantung Sarawak yang berada dalam kelompok 100 terbaik di rantau Asia Pasifik membuktikan keupayaan serta kepakaran anak tempatan dalam menyediakan perkhidmatan perubatan bertaraf tinggi.

“Sepanjang lebih 25 tahun beroperasi, pusat berkenaan telah menerima kira-kira 300,000 pesakit, sekali gus mencerminkan peranannya dalam menyediakan kemudahan rawatan khusus kepada masyarakat,” ujarnya.

Selain itu, pembangunan Pusat Kanser Sarawak bernilai RM1 bilion turut menjadi antara usaha memperkukuh keupayaan sektor kesihatan negeri, termasuk melalui penyediaan peralatan perubatan khusus.

Dalam pada itu, peningkatan hubungan udara antarabangsa menerusi AirBorneo, termasuk laluan terus Kuching-Jakarta, turut menyediakan kemudahan perhubungan yang lebih baik kepada pelawat luar negara, termasuk mereka yang ingin mendapatkan rawatan di Sarawak.

Oleh Adele Rissa