Kebakaran hutan gambut di Serembang cecah 30 hektar, operasi pemadaman masuk hari kedua

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba meneruskan operasi pemadaman kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin, Serembang, Spaoh, hari ini yang dianggarkan membabitkan kawasan seluas 30 hektar. Foto BBP Betong

SPAOH: Kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin, Serembang di sini yang dianggarkan membabitkan kawasan seluas 30 hektar masih belum dapat dipadam sepenuhnya apabila operasi pemadaman memasuki hari kedua hari ini.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, kebakaran itu dilaporkan pada 2.44 petang semalam sebelum operasi pemadaman digerakkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong.

Operasi hari kedua pada hari ini diteruskan bagi mengawal dan memadam kebakaran yang masih berlaku di kawasan terbabit.

Setakat ini, kira-kira 0.3 hektar kawasan berjaya dipadam, manakala baki kawasan kebakaran dianggarkan seluas 29.7 hektar.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PPgB) Muhammad Badrulamin Mohamad Fodzi dengan kekuatan 10 anggota.

KAWAL KEBAKARAN… Anggota bomba menjalankan kerja pemadaman di kawasan hutan gambut Jalan Bungin, Serembang, Spaoh, bagi mengelakkan api terus merebak. Foto BBP Betong

Pasukan bomba turut menggunakan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), sebuah pacuan empat roda jenis Hilux, sebuah pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS), sebuah Urvan dan sebuah lori tangki air bagi menjalankan operasi pemadaman.

Bagaimanapun, usaha pemadaman berdepan beberapa cabaran termasuk laluan ke lokasi yang sempit dan sukar dilalui, selain ketiadaan sumber air berhampiran kawasan yang terbakar.

Keadaan turut menyukarkan operasi apabila litupan GIRN di kawasan berkenaan tebal, manakala rangkaian telefon juga dilaporkan kurang memuaskan.

Kebakaran yang berlaku di kawasan hutan gambut itu memerlukan operasi berterusan bagi memastikan api dapat dikawal dan tidak merebak ke kawasan lain.

PGO JBPM Sarawak memaklumkan tindakan operasi masih diteruskan dan perkembangan terkini akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Oleh Adi Safarman