Kebakaran Batu Kawa: Kedai tiga tingkat terbakar, JBPM berjaya kawal api

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUCHING: Sebuah kedai penyimpanan peralatan alat tulis dan cenderahati di tingkat bawah sebuah bangunan tiga tingkat di Jalan Batu Kawa, Bandar Baru Batu Kawa, terbakar sepenuhnya dalam kejadian petang tadi.

Menurut laporan akhir Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.24 petang sebelum jentera tiba di lokasi pada 3.35 petang.

Komander Operasi Kanan, PgKB II Wan Abdul Mubin Wan Abdullah berkata, kebakaran melibatkan sebuah kedai penyimpanan peralatan alat tulis serta cenderahati berkeluasan kira-kira 15 x 30 kaki persegi di tingkat bawah bangunan kekal tiga tingkat yang terbakar 100 peratus.

Katanya, tindakan pemadaman secara ofensif dijalankan menggunakan tiga aliran hos, empat nozel pam jentera serta sumber air daripada pili bomba berhampiran.

“Setelah selesai memadam sepenuhnya kebakaran dan memastikan keadaan selamat, pasukan operasi bertolak balik ke balai,” katanya.

Kebakaran berjaya dikawal pada 4.05 petang sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 5.24 petang.

Operasi melibatkan 25 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dengan bantuan BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan.

Kekuatan logistik terdiri daripada tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.

Operasi turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy.

Oleh Afiq Sallehi