BEKENU: Sebuah bangunan Pos Laju di Pekan Bekenu terbakar kira-kira 70 peratus dalam kejadian kebakaran sekitar 8.30 pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.44 pagi.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi pada 9.30 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan bangunan Pos Laju berukuran kira-kira 40 x 40 kaki persegi dan berstruktur kekal.
“Hasil pemeriksaan mendapati bangunan tersebut terbakar dianggarkan 70 peratus dan kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu sepanjang 400 kaki dengan dua nozel serta menggunakan sumber air sungai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi diketuai PBK II TBK I Azalan Azaman dengan kekuatan lima anggota menggunakan sebuah jentera jenis Jentera Penyelamat Ringkas (CRT).
Operasi pemadaman dilaporkan terkawal pada 9.58 pagi, manakala kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut masih dijalankan.
Utusan Sarawak yang berada di lokasi kejadian mendapati orang ramai turut membantu pihak bomba mengangkat pam ke tebingan sungai untuk mendapat sumber air pemadaman kebakaran.
Punca kebakaran dan kerugian harta benda masih disiasat.
Turut berada di lokasi kejadian ialah Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni untuk meninjau keadaan kebakaran Bangunan Pos Laju.
Oleh Adum Liu





