Kebakaran awal pagi musnahkan rumah di Flat Taman Arbi

Facebook
WhatsApp
API marak membakar dua unit rumah di tingkat empat Flat Taman Arbi, Tabuan Jaya dengan sebuah unit musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira 20 peratus. Foto JBPM

KUCHING: Dua kediaman di tingkat empat Flat Taman Arbi, Blok A, Tabuan Jaya di sini terbakar awal pagi tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat selepas kedua-dua kediaman berkenaan didapati tidak berpenghuni.


Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.44 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya tiba di lokasi pada 2.48 pagi.


Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Padungan membabitkan keseluruhan 17 anggota dengan menggunakan sebuah Jentera Bomba dan Penyelamat Kompak (CFRT), sebuah Jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) dan sebuah lori tangki air.


Komander Operasi, PBK I Said Muhammad Imran Sahul Hamid berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran melibatkan dua unit kediaman di tingkat empat sebuah bangunan struktur kekal.

OPERASI berjaya dikawal tanpa melibatkan sebarang mangsa sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 5.06 pagi. Foto JBPM

“Sebuah kediaman musnah sepenuhnya, manakala sebuah lagi mengalami kemusnahan kira-kira 20 peratus.

“Pemeriksaan mendapati kesemua rumah di tingkat empat premis berkenaan kosong dan tidak berpenghuni. Terdapat juga banyak longgokan sampah memenuhi ruang dalam rumah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, anggota bomba menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan tiga nozel bagi operasi pemadaman, manakala sumber air diperoleh daripada pam jentera BBP Tabuan Jaya.


Katanya, anggota BBP Padungan turut membantu menyalurkan bekalan air melalui sistem pam bergilir (relay pumping), selain sebuah lori tangki air digerakkan ke lokasi bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang operasi.


Api berjaya dikawal pada 3.30 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 5.06 pagi selepas pihak bomba mengesahkan kebakaran dipadam sepenuhnya dan kawasan berkenaan selamat.


Turut berada di lokasi ialah Ketua Balai BBP Tabuan Jaya, TPgB II Tan Min Chai.
Selain JBPM, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sarawak Energy Berhad (SESCO) turut hadir bagi membantu melancarkan operasi.