BETONG: Sebuah jengkaut yang digunakan bagi projek pembinaan jalan dilaporkan musnah sebanyak 85 peratus dalam satu kejadian kebakaran di kawasan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ajau, Ulu Layar, berdekatan sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan media mengesahkan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 12.04 tengah hari.
Sejurus menerima panggilan tersebut, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 18 kilometer untuk menjalankan operasi pemadaman.
Pasukan penyelamat bersama kenderaan jentera tiba di lokasi kejadian pada 12.21 tengah hari dan mendapati sebuah jengkaut jenis Volvo milik sebuah syarikat itu sedang terbakar dengan teruk.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan Il, Kussary Abdul Latip berkata, operasi jentera tersebut dipandu dan dianggotai seramai 11 anggota berserta logistik yang terdiri daripada sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah pcuan empat roda dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Pihak bomba seterusnya bertindak melakukan pemadaman sepenuhnya ke atas sisa kebakaran menggunakan salur bantu mula pertama dengan satu aliran daripada pam jentera bagi memastikan api terpadam sepenuhnya.
Kebakaran berjaya dikawal pada 12.28 tengah hari sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.34 tengah hari, dan tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Oleh Adi Safarman





