KUALA LUMPUR: Lebih tiga dekad bertapak dalam persada muzik tanah air, kumpulan pop rock legenda, Exists, membuktikan paduan vokal dan tenaga mereka di atas pentas langsung tidak ‘pancit’, malah kekal berbisa menerusi Konsert Exists Momento Mori yang berlangsung meriah di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini baru-baru ini.
Dianjurkan oleh Icon Entertainment bagi meraikan 35 tahun perjalanan seni mereka, konsert itu menjadi medan penyatuan semula “brotherhood” yang meleraikan pelbagai episod “drama” perpisahan ahli kumpulan tersebut suatu ketika dahulu.
Penyatuan semula Along (gitar), Musa (bes), Ujang (dram), Ajai (keyboard), Shah (gitar) bersama-sama dengan dua vokalis utama, Ezad Lazim dan Mamat, menghidupkan semula magis era 90-an di hadapan ribuan peminat yang membanjiri dewan.
Meskipun kesemua anggotanya kini sudah berstatus bapa selepas memulakan karier sejak di bangku sekolah, vokal Ezad dan Mamat langsung tidak mengecewakan, kekal persis kualiti rakaman kaset dan cakera padat (CD) era kegemilangan mereka.

Tirai persembahan yang bermula kira-kira 8.50 malam itu dibuka bertenaga oleh Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 47, menerusi empat trek daripada album Paragon (2004), iaitu Percayakan Siti, Mama Tolong Percaya, Masih Terserlah Ayumu dan Hilang Dalam Ramai.
“Apa khabar Bukit Jalil? Penuh stadium malam ini. Terima kasih hadir bersempena 35 tahun kumpulan Exists. Terus nyanyi bersama-sama boleh? Ingat lirik tak?” pancing Ezad menyapa penonton yang kebanyakannya membesar dengan lagu-lagu mereka.
Pentas kemudian diambil alih oleh Mamat, atau Mohd Ali Kamaruddin, 48, yang mendendangkan lagu-lagu dari era awal kemunculan kumpulan itu seperti Anugerah, Meniti Cita-Cita dan Janji Bidadari.

Mamat turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan peminat yang tidak pernah pudar sepanjang 35 tahun penglibatan mereka dalam industri muzik.
“Siapa sangka semua di atas pentas ini yang dulunya sekumpulan remaja yang meniti cita-cita… sampai hari ini kami masih ada untuk anda semua,” katanya sebelum kembali menyemarakkan suasana menerusi lagu Nota Di Lautan Sepi.
Jalan cerita konsert malam itu menjadi lebih menarik apabila Exists tidak hanya bersandar pada lagu-lagu balada “leleh” mereka, tetapi turut mendendangkan lagu-lagu yang jarang dimainkan dalam konsert seperti Kuman HIV, Oh! Benih Adam, Hidupan Fantasi, Konklusi dan Sebelum Terlewat.
Persembahan penuh emosi daripada Mamat menerusi lagu Untukmu Ibu berjaya menyentuh hati para penonton sehingga ada yang tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata.

“Ini lagu yang memperkenalkan kami dalam industri muzik sekitar 1991 dan 1992. Lagu yang telah mengubah nasib kami… Semua orang ada kenangan dengan lagu ini, Untukmu Ibu,” kata Mamat ketika mengimbas kembali nostalgia awal penglibatan mereka.
Momentum konsert semakin rancak apabila Mamat membawakan lagu Buih Jadi Permaidani atau Mengintai Dari Tirai Kamar karya ciptaan Saari Amri yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa di Indonesia pada 1998.
Gimik persembahan ketika lagu Kapal Terbang Kertas berkumandang mencuri perhatian apabila ribuan pesawat kertas mini diturunkan dari bumbung dewan, disahut oleh penonton yang turut meluncurkan kapal terbang kertas masing-masing ke udara.
Unifi Arena kemudian bertukar menjadi dewan “karaoke gergasi” sebaik sahaja seleksi lagu malar segar seperti Janji Padamu, Rahsia Pohon Cemara, Tak Mungkin Berpaling dan Jesnita didendangkan apabila penonton secara automatik berdiri dan menyanyi beramai-ramai.

Secara keseluruhannya, sebanyak 33 buah lagu disampaikan sepanjang malam tersebut, termasuk single baharu Exists nyanyian Ezad berjudul Memilih Yang Salah.
Konsert yang penuh nostalgia itu ditutup indah menerusi gandingan duet padu Ezad dan Mamat menerusi lagu Langkah Seiringan dan Alasanmu.
Persembahan mantap Exists membuktikan karya berkualiti akan sentiasa malar segar merentas zaman dan rangkap lirik lagu akan terus menjadi siulan peminat.
Semangat persaudaraan atau “brotherhood” dan profesionalisme mereka berjaya meleraikan segala episod duka, membawa pertanyaan, kumpulan legenda lain bila lagi? – Bernama





