Kebajikan rakyat jadi keutamaan, ADUN Kabong terus dekati golongan memerlukan

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir dan Datin Meryani Yassin pada Program Ziarah Kasih bagi menziarahi seorang penduduk di Kampung Hilir Laut, Kabong, hari ini. Foto ADUN Kabong

KABONG: Keprihatinan terhadap kebajikan masyarakat terus menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menerusi Program Ziarah Kasih di Kampung Hilir Laut, di sini, hari ini.

Beliau bersama isteri, Datin Meryani Yassin, berkesempatan menziarahi Hairi Chi, seorang penduduk yang berdepan masalah kesihatan sehingga mengalami kelemahan pada bahagian kaki dan menyukarkan pergerakan harian.

Keadaan itu menyebabkan Hairi lebih banyak terlantar di rumah serta memerlukan bantuan ahli keluarga bagi menguruskan keperluan harian.

Dalam kunjungan berkenaan, Chee Kadir turut bertanya khabar dan meninjau keadaan Hairi selain menyerahkan sebuah kerusi roda bagi membantu memudahkan pergerakan serta urusan hariannya.

Kunjungan itu turut memperlihatkan keprihatinan wakil rakyat terhadap golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan, khususnya mereka yang berdepan cabaran kesihatan.

DATO Mohd Chee Kadir dan Datin Meryani Yassin pada Program Ziarah Kasih bagi menziarahi seorang penduduk di Kampung Hilir Laut, Kabong, hari ini. Foto ADUN Kabong

Turut hadir Naib Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong, Maini Spawi Ketua Pergerakan Wanita PBB Kabong, Nurain Abdullah Penolong Bendahari PBB Kabong, Normah Ahmadi serta Ketua Kaum Kampung Hilir Laut, Salahah Golong.

Chee Kadir turut mendoakan agar Hairi diberikan kesembuhan, kekuatan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian kesihatan yang dilalui.

Beliau pada masa sama berharap keluarga Hairi terus tabah, bersabar dan memberi sokongan serta penjagaan terbaik bagi memastikan kebajikannya sentiasa terpelihara.

Menurutnya, Program Ziarah Kasih akan terus diperkasakan sebagai wadah untuk mendekati masyarakat secara langsung, selain mengenal pasti keperluan golongan yang memerlukan bantuan.

Katanya, pendekatan turun padang penting bagi memastikan kebajikan rakyat tidak hanya diberi perhatian menerusi saluran rasmi, sebaliknya turut diselami menerusi kunjungan secara bersemuka.

“Semoga sedikit perhatian dan kunjungan ini dapat memberikan semangat kepada keluarga serta menjadi tanda bahawa masyarakat yang memerlukan tidak pernah dilupakan,” katanya.

Program berkenaan diharap dapat terus menyemarakkan semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat, sekali gus memastikan golongan yang kurang berkempuan sentiasa mendapat perhatian sewajarnya.

Oleh Adi Safarman