
SIBURAN: “Ke mana mereka yang lain itu?” demikian persoalan yang timbul apabila penyertaan pelajar dalam program perubatan di bawah kerjasama kerajaan Sarawak dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) masih belum mencapai sasaran sepenuhnya tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, daripada sasaran 50 pelajar, hanya 30 calon berjaya memenuhi syarat kelayakan.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan terhadap penyertaan calon berpotensi dalam bidang berkenaan.
“Sekarang kita ada kerjasama dengan UNIMAS untuk menghantar anak Sarawak dalam bidang perubatan. Kita sasarkan 50 orang, tetapi hanya 30 yang layak. Ke mana mereka yang lain itu?Tidak timbul. Jadi kita rugi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Randau Komuniti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) 2026 di Kampung Menjau, di sini, hari ini.
Roland berkata, kerajaan negeri menyediakan pelbagai peluang pendidikan termasuk 64 bidang kursus percuma melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Menurutnya, usaha itu akan terus diperkukuh termasuk peluasan bidang baharu seperti aeroangkasa bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
Beliau menegaskan, perubahan landskap ekonomi memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan digital, sekali gus menuntut anak Sarawak untuk merebut peluang yang disediakan.
“Peluang sudah ada di depan mata. Jika tidak direbut, kita sendiri akan rugi pada masa hadapan,” tegasnya.
Oleh Adele Rissa