
PETRA JAYA: Kejayaan Kuching City FC (KCFC) melangkah ke pertandingan kelab peringkat Asia dilihat sebagai satu pencapaian penting yang mencerminkan kemajuan sukan bola sepak di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu membuktikan perkembangan positif kelab berkenaan yang hanya dalam tempoh sekitar 10 tahun berjaya membina nama sebagai antara pasukan kompetitif di negara ini.
“Kejayaan KCFC menembusi pentas Asia juga menunjukkan peningkatan struktur pengurusan dan pembangunan pasukan yang semakin tersusun.
“Dalam tempoh yang agak singkat, mereka berjaya sampai ke peringkat akhir Piala FA dan kini layak ke pertandingan kelab Asia. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan dan menunjukkan perkembangan bola sepak kita,” katanya dalam sidang media di Petra Jaya, hari ini.

Abdul Karim menjelaskan, kekuatan sesebuah pasukan tidak hanya bergantung kepada sokongan kewangan, sebaliknya memerlukan pengurusan yang efisien, perancangan rapi serta hala tuju yang jelas.
“KCFC kini tidak lagi dilihat sekadar mewakili bandar raya Kuching, sebaliknya membawa nama serta harapan seluruh Sarawak di pentas yang lebih tinggi,” tambahnya.
Sehubungan itu, kementerian bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan terus memberi penekanan kepada pembangunan bola sepak akar umbi melalui pelaksanaan liga negeri mengikut peringkat umur di seluruh Sarawak.
Usaha tersebut bertujuan memperkukuh ekosistem bola sepak negeri serta melahirkan lebih ramai bakat baharu, selain membuka ruang kepada lebih banyak kelab untuk berkembang di seluruh bahagian Sarawak.