SKUAD Kuching City FC (KCFC) gagal mencuri sebarang mata apabila tewas ditangan Kelantan United FC (KUFC) 0-1 pada saingan Liga Premier, malam semalam.
Jaringan tunggal penyerang, Fakhrulzaman Wan Abdullah Zawawi pada minit ke-52 memastikan skuad The Green Deer itu melonjak ke tangga ketiga Liga Premier dengan mengutip 16 mata dan hanya dibeza dua mata dengan pendahulu liga, Negeri Sembilan FC.
Beraksi selaku pasukan tuan rumah di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, KUFC dikejutkan asakan awal pelawat menerusi percubaan Joseph Kallang Tie namun ditangkap kemas Mohd Ramadhan Ab Hamid, seawal minit kesembilan.
Tujuh minit berselang, tuan rumah membalas serangan menerusi Mohd Imran Samso tetapi rembatan luar kotak penalti pemain muda itu pula terbias pertahanan lawan.
Aksi tuan rumah terus rancak apabila KUFC mencipta gerakan satu dua tetapi percubaan bekas pemain Sarawak, Syahrul Azwari Ibrahim ditampan penjaga gol KCFC, Wan Muhammad Azraie Wan Teh pada minit ke-17 manakala tandukan pemain KCFC, Mazwandi Zekeria sedikit serong di sebelah kanan gawang, tiga minit kemudian.
Gassama Alfusainey meneruskan usaha pemburuan gol buat skuad kendalian Akira Higashiyama tetapi tandukannya berpunca sepakan penjuru dinafikan Wan Muhammad Azraie, minit ke-32.
Minit-minit akhir babak pertama, giliran Mohd Ramadhan pula mempamerkan kehebatan di pintu gol apabila menyelamatkan tandukan jarak dekat Joseph Kallang untuk memastikan kedudukan kekal 0-0 sehingga wisel dibunyikan.
Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma pada babak kedua apabila sepakan percuma menarik dilakukan Fakhrulzaman dari jarak 25 meter terus menerjah jaring pada minit ke-52.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim terus menggandakan serangan namun jentera serangan KCFC diketuai Hudson Dias masih gagal menembusi gawang tuan rumah.
Sebaliknya, Fakhrulzaman hampir menambah gol kedua pada minit ke-81 namun percubaannya terus ke dakapan penjaga gol KCFC.
Usaha KCFC untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata turut hampa apabila percubaan pemain gantian, Shafiq Shaharudin tersasar pada minit ke-85 manakala rembatan Mohammad Zainudin Bohri melepasi palang, seminit kemudian.
Kemenangan itu menyaksikan KUFC kini menduduki di tangga ketiga selepas mengharungi sebanyak sembilan perlawanan dengan merekodkan lima kemenangan, sekali seri dan tiga kalah.
Manakala skuad KCFC pula kini kekal berada ditangga ke-10 Liga Premier dengan memungut tujuh mata daripada sembilan perlawanan.
Oleh ADI SAFARMAN