KUCHING: Kawasan Lundu dan Sematan dikenal pasti sebagai lokasi melancarkan satelit selepas perkara ini disahkan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan itu dipilih kerana lokasinya strategik, berdekatan dengan garisan khatulistiwa.
Katanya, kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Agensi Angkasa Malaysia untuk tujuan tersebut.
“Kita perlu bersedia, dari sudut tenaga kerja kerana industri aeroangkasa ini menyeluruh, pertamanya satelit, keduanya semikonduktor, kerana di dalamnya ada cip dan cip ini termasuk avionik, dan yang ketiga adalah komponen satelit.
“Jadi kami telah melantik Universiti I-Cats dan Universiti Swinburne Sarawak untuk bekerjasama dalam jurusan baharu iaitu Sarjana Muda Kejuruteraan Aeroangkasa.
“Inilah antara persediaan awal kita untuk melatih anak-anak muda dalam industri baharu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Johari juga menjelaskan bahawa ketika ini kerajaan Sarawak sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Johor untuk tujuan pengumpulan data.
“Seperti kita tahu, satelit juga bertujuan untuk mengumpul data, oleh itu, ketika ini kami sedang bekerjasama dengan Universiti Teknologi Johor, untuk kita dapatkan data geologi kita menerusi Jabatan Tanah dan Survei,” jelasnya.
Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan bahawa Sarawak akan membuka pusat latihan aeroangkasa sebagai persediaan untuk terbabit serius dalam industri penerbangan.
Katanya, Pusat latihan itu akan diwujudkan di Tanjung Bako di Kuching, manakala kelas teori akan diadakan di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di Lundu.
Abang Johari berkata, penubuhan dua pusat latihan itu sementara mewujudkan fakulti aeroangkasa di institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak, iaitu Kolej Universiti i-CATS.
“Ini bidang pengajian baharu yang ada kaitan juga dengan teknologi tinggi kerana Sarawak sudah ada pereka cip baharu untuk avionik (peralatan elektronik penerbangan).
“Avionik ini ada hubung kait dengan sektor penerbangan dan ini ialah ekosistem yang kita bangunkan untuk terbabit dalam industri aeroangkasa. CENTEXS di Lundu dikenal pasti antara yang akan dijadikan pusat latihan,” katanya pada satu acara yang diadakan di Lundu Julai lalu.
Oleh SHAHRUL QAIZAT