KUCHING: Pengurusan Gunung Tabai, Bau akan dipertingkatkan bagi mengelak pencerobohan kegiatan melombong emas secara haram yang mengakibatkan nyawa terkorban.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau telah meminta Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) supaya memperkemas serta meningkatkan lagi pengurusannya di kawasan itu, supaya perkara ini tidak berlaku pada masa akan datang.
Beliau berkata pihaknya ketika ini berusaha untuk melengkapkan fasiliti di kawasan gunung tersebut.
“Kawasan gunung itu adalah sebahagian dari kawasan yang diwartakan sebagai taman negara. Dari segi fasiliti belum lagi lengkap dan kita cuba usahakan.
“Apa yang berlaku ialah mereka cuba korek kawasan itu untuk melombong emas secara haram dan kita tidak boleh kenal pasti dari mana mereka masuk sebab kawasan itu luas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) di sini, malam tadi.
Awang Tengah berkata pihak agensi yang berkaitan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang menjalankan siasatan penuh terhadap perkara tersebut.
“Kita tunggu siasatan, banyak agensi yang terlibat termasuk pihak polis. Jadi, kita tunggu bagaimana,” katanya.
Semalam, seorang warga Indonesia ditemui maut selepas tertimbus ketika melombong emas secara haram di Gunung Tabai.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Yoga Anggiska, 26, berjaya dikeluarkan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas, mayat mangsa ditemui pasukan SAR kira-kira 90 meter di dalam lubang di gunung berkenaan.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Gambar
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika menyempurnakan majlis Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) di Kuching, malam tadi.