Kevin Lau gesa peruntukan pembangunan Sarawak ditambah dalam Belanjawan 2027

Facebook
WhatsApp
KETUA Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie.

SIBU: Kerajaan Persekutuan digesa menyediakan peruntukan pembangunan yang lebih besar untuk Sarawak menerusi Belanjawan 2027, khususnya bagi mempercepat pelaksanaan projek infrastruktur kritikal, kemudahan kesihatan dan pendidikan di negeri itu.

Ketua Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, berkata keperluan pembangunan di Sarawak perlu diberi perhatian berdasarkan keadaan sebenar di lapangan, termasuk keperluan menaik taraf sekolah, kemudahan kesihatan serta sistem bekalan air.

Menurutnya, Sarawak pada masa sama menggunakan dana sendiri bagi mempercepat pelaksanaan beberapa projek infrastruktur kritikal, termasuk pembinaan loji rawatan air dan kerja menaik taraf sistem bekalan air.

“Ini kerana keperluan mendesak rakyat tidak boleh menunggu tanpa tempoh yang pasti untuk mendapatkan pembiayaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kevin berkata, Pusat Kanser Sarawak juga merupakan contoh penglibatan Sarawak dalam menyediakan sokongan pembiayaan bagi projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan yang lebih besar untuk Sarawak menerusi Belanjawan 2027 bagi memastikan projek yang diperlukan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Katanya, hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak juga perlu berasaskan ketelusan, kejujuran dan keterbukaan, khususnya dalam membincangkan sumbangan serta peruntukan pembangunan untuk Sarawak.

Beliau berkata, perbincangan dalam Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak seharusnya membentangkan angka dalam bentuk yang boleh mengelirukan rakyat sehingga menimbulkan persepsi bahawa perbelanjaan Kerajaan Persekutuan di Sarawak semata-mata lebih besar berbanding hasil yang dijana negeri itu.

“Sarawak secara konsisten merupakan antara penyumbang utama kepada negara, khususnya melalui industri minyak dan gas, selain cukai, duti serta hasil Persekutuan lain yang dikutip di Sarawak,” katanya.

Menurut Kevin, ketelusan dalam penyampaian maklumat penting bagi memastikan rakyat mendapat gambaran yang menyeluruh mengenai kedudukan hasil dan perbelanjaan berkaitan Sarawak.

Katanya, kepercayaan antara kedua-dua kerajaan hanya dapat diperkukuh sekiranya setiap perkara dibincangkan secara terbuka dan berdasarkan fakta.

“Sarawak tidak meminta layanan istimewa. Kami hanya meminta keadilan, ketelusan dan kerjasama yang jujur, selaras dengan semangat MA63.

“Apabila wujud ketelusan, kepercayaan dapat dibina. Apabila wujud kepercayaan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dapat bekerjasama dengan lebih berkesan demi kepentingan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Oleh Akun Giman