Kaunter Imigresen Kuching, Limbang dan Lawas ditutup sementara tiga hari

Facebook
WhatsApp
HEBAHAN... Notis pemakluman penutupan sementara kaunter Pejabat Imigresen Kuching, Limbang dan Lawas bagi kerja penyelenggaraan bermula 31 Julai hingga 2 Ogos 2026.

KUCHING: Urus niaga kaunter di tiga pejabat Jabatan Imigresen Sarawak iaitu Pejabat Imigresen Bahagian Keselamatan dan Pasport Kuching, Pejabat Imigresen Bahagian Limbang serta Pejabat Imigresen Bahagian Lawas ditutup sementara kepada orang ramai mulai esok hingga 2 Ogos ini.

JIM Sarawak menerusi notis pemakluman hari ini memaklumkan, penutupan sementara selama tiga hari itu dilaksanakan bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan di pejabat berkenaan.

Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga pejabat tersebut akan kembali beroperasi seperti biasa pada Isnin, 3 Ogos, dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan lanjut boleh mengemukakannya menerusi Sistem Pertanyaan Dalam Talian (SPO) JIM dengan memilih kategori JIM SARAWAK > KESELAMATAN DAN PASPORT.

Maklumat lanjut juga boleh diperoleh menerusi e-mel rasmi JIM Sarawak di pro_sarawak@imi.gov.my.

JIM Sarawak menasihatkan orang ramai supaya mengambil maklum tempoh penutupan sementara berkenaan bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berurusan di pejabat Imigresen terbabit.

Oleh Afiq Sallehi