KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok dan minuman keras bernilai RM2.4 juta, baru-baru ini.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, modus operandi yang digunakan adalah dengan mengikrarkan muatan sebuah lori kargo sejuk beku membawa muatan udang beku melalui gudang transit.
Bagaimanapun, katanya, operasi membawa keluar barangan itu itu menemui kegagalan apabila anggota dari Unit Marin mengesan sesuatu yang mencurigakan.
“Anggota dari Unit Marin kemudian bertindak mengekori lori berkenaan sebaik keluar dari gudang transit di pelabuhan.
“Lori itu berjaya dipintas pasukan terbabit ketika melalui Jalan Kuching-Samarahan Ekspressway kira-kira 2.00 petang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Stor Bahagian Penguatkuasaan JKDM di Sejingkat Industrial Park, Jalan Demak Laut, di sini, hari ini.
Katanya lagi, pemeriksaan lanjut oleh pasukan itu membawa kepada penemuan sejumlah rokok dan minuman keras yang diangkut di dalam kargo lori sejuk beku itu.
“Hasil pemeriksaan menjumpai sejumlah 3, 400, 000 batang rokok pelbagai jenama dan juga 2,376 liter minuman keras yang tidak berkastam.
“Nilai rokok dan minuman keras yang dirampas dianggarkan sebanyak RM2.4 juta beserta cukai yang berasal dari negara jiran.
“Sementara itu, lori itu juga yang dianggarkan bernilai RM70,000 turut disita, menjadikan keseluruhan rampasan bernilai RM3.15 juta,” jelasnya.
Katanya lagi, Kuching hanya dijadikan transit sebelum barangan itu dihantar ke lokasi lain di Sarawak.
Menerusi pemeriksaan tersebut, pemandu lori yang merupakan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan.
Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.
Oleh Rynna Sha’erra