
PETRA JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menggagalkan satu sindiket penyeludupan rokok dan minuman keras menerusi tiga serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar bandar raya ini, dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM1.626 juta.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya, berkata operasi tersebut merupakan hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan terhadap beberapa premis yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan serta pengedaran barangan larangan tersebut.
“Serbuan dilakukan ke atas tiga lokasi berbeza iaitu di Batu 9 Jalan Penrissen, Batu Kawa dan juga Taman Malihah.
“Ketiga-tiga premis itu dipercayai berfungsi sebagai tempat penyimpanan stok rokok dan minuman keras yang diseludup masuk tanpa membayar cukai dan duti yang ditetapkan,” katanya pada Sidang Media Bilangan 9/2025 Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak di Aras 2, Wisma Kastam, Medan Raya, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, hari ini.
Dalam operasi tersebut, pasukan Kastam berjaya merampas sejumlah 452,260 batang rokok serta 23,284 liter minuman keras pelbagai jenama.
Rampasan tersebut melibatkan jumlah cukai dan duti yang dianggarkan bernilai kira-kira RM917,000.
Norizan turut memaklumkan bahawa dua orang lelaki tempatan telah ditahan dalam serbuan itu bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Oleh Amanda L.