Karnival Pendidikan MADANI Sri Aman perkukuh sinergi, pacu reformasi pendidikan

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Pendidikan Sarawak, Omar Mahli melawat reruai pameran sempena Karnival Pendidikan MADANI Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman. Foto Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak

SIMANGGANG: Karnival Pendidikan MADANI Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman menjadi wadah memperkukuh kerjasama antara warga pendidikan, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), komuniti serta agensi berkaitan dalam memastikan agenda pendidikan berkualiti terus diperkasa.

Menurut kenyataan media Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), karnival yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Sri Aman, menghimpunkan pelbagai pihak dalam usaha memperkukuh jaringan permuafakatan dan pembangunan pendidikan yang lebih holistik.

Pelbagai pengisian diketengahkan sepanjang program, termasuk perkongsian Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan aspek keselamatan, sahsiah, disiplin dan kesejahteraan murid.

Selain itu, pengisian mengenai TEKAD RPM 2026–2035 turut memberi pendedahan kepada warga pendidikan mengenai hala tuju serta keutamaan reformasi pendidikan dalam membentuk sistem yang lebih responsif, inklusif dan berimpak.

Karnival turut mengetengahkan Kurikulum 2027, sekali gus memberi gambaran kepada warga pendidikan mengenai perubahan dan pendekatan baharu dalam memperkukuh kualiti pengajaran serta pembelajaran selaras dengan keperluan pendidikan masa hadapan.

PENGARAH Pendidikan Sarawak, Omar Mahli menyampaikan bantuan kepada wakil institusi pendidikan sempena Karnival Pendidikan MADANI PPD Sri Aman di SK Agama MIS Sri Aman. Foto Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak

Dalam pada itu, beberapa bentuk bantuan dan sokongan kepada institusi pendidikan turut disampaikan, antaranya peruntukan penyelenggaraan bilik guru, Bantuan Awal Persekolahan bagi murid Tingkatan Enam serta Surat Prakarsa Mutu Sekolah Bawah Reformasi Sekolah.

Penyampaian berkenaan membuktikan komitmen berterusan JPNS dan PPD Sri Aman dalam menyediakan sokongan bersesuaian kepada sekolah, guru dan murid, di samping memperkukuh kualiti pengurusan serta ekosistem pendidikan di daerah berkenaan.

Majlis penutupan karnival disempurnakan Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin, pegawai-pegawai PPD Sri Aman, pengetua dan guru besar, wakil PIBG, komuniti serta persatuan-persatuan di Daerah Sri Aman.

Penganjuran karnival itu bukan sekadar menjadi medan perkongsian maklumat dan penyampaian bantuan, malah memperlihatkan kesepaduan seluruh ekosistem pendidikan dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan.

PENGARAH Pendidikan Sarawak, Omar Mahli bergambar bersama warga pendidikan, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta tetamu jemputan sempena Karnival Pendidikan MADANI PPD Sri Aman. Foto Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak

Sinergi antara sekolah, PPD, agensi kerajaan, PIBG dan komuniti amat penting bagi memastikan setiap inisiatif pendidikan dapat diterjemahkan kepada impak bermakna terhadap kemenjadian murid.

Karnival Pendidikan MADANI PPD Sri Aman diharap terus menjadi platform memperkukuh permuafakatan, kepimpinan pendidikan dan budaya penambahbaikan berterusan, sekali gus mendukung aspirasi TEKAD RPM 2026–2035 dalam membangunkan pendidikan Sarawak yang berkualiti, berdaya saing serta berpaksikan kesejahteraan dan masa depan murid.

Oleh Adi Safarman