PEMAIN dan jurulatih Kapit FA meraikan kemenangan selepas menewaskan
tuan rumah Betong FA 2-1 petang semalam.
SKUAD Kapit FA meneruskan momentum kemenangan apabila menewaskan Betong FA 2-1 dalam saingan Liga SSC-FAS Zon Tengah di Kompleks Sukan Betong semalam.
Dengan kemenangan tersebut membolehkan Kapit FA yang dikendalikan oleh Pendi Bohari itu meraih enam mata hasil dua kemenangan.
Tampil dengan semangat untuk misi meraih mata maksimum di gelanggang lawan, Kapit FA tidak menunggu lama untuk merobek gawang pelawat menerusi jaringan Steve Willy pada minit ke-34.
Namun ketika Betong FA giat berusaha mencari gol penyamaan, mereka terhukum sekali lagi lima minit selepas itu menerusi jaringan penyerang, Alan Eldrian pada minit ke-39 dan keputusan 2-0 itu kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Pada babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, dengan Betong FA menghadirkan beberapa cubaan berbahaya ke gawang lawan.
Namun jaringan oleh penyerang Betong FA pada minit ke-66 tidak mampu untuk membantu skuad kendalian Mohd Zaidol Mohd Zain untuk sekurang-kurangnya mengikat pasukan lawan dengan satu mata, dan kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan oleh pengadil perlawanan.
Menurut jurulatih Kapit FA Pendi Bohari, untuk mengekalkan momentum kemenangan dalam dua perlawanan berturut-turut merupakan satu rekod yang baik dan konsisten bagi anak-anak buahnya.
“Tidak dinafikan, aksi menentang Betong FA sememangnya sengit, namun dua gol awal pada separuh masa pertama telah memberikan kelebihan Kapit FA untuk meraih tiga mata berharga pada petang ini.
“Sebenarnya kita boleh menambah lebih dua gol, jika pemain Betong FA terus melakukan kesilapan pada perlawanan tersebut,” ujarnya ketika ditanya pemberita selepas perlawanan.