Jurgen Klinsmann meninggalkan Tottenham Hotspur 25 tahun lalu kerana mahu menjulang trofi kejuaraan.
Bagaimanapun, legenda bola sepak Jerman itu percaya Harry Kane mampu meraih gelaran juara jika dia kekal di bawah bimbingan Jose Mourinho.
Spurs tidak pernah memenangi sebarang gelaran sejak menjuarai Piala Liga pada 2008.
“Dia (Kane) boleh mencapai apa saja yang diimpikannya.
“Dia sangat berbakat dan dia kini di kemuncak kerjayanya yang mana dia lebih matang.
“Dia bukan pemain muda biarpun kamu masih fikir dia masih muda. Melihat dia dari jauh, anda pastinya berharap dia mampu memenangi gelaran.
“Apabila anda bermain secara profesional dan anda mendapat peluang bermain bersama pasukan dalam kelompok lima terbaik sudah pasti ia akan berkisar mengenai trofi kejuaraan.
“Saya percaya Spurs mampu menjulang trofi kejuaraan sekali gus merealisasikan impian Kane,” katanya.
Kane, 26, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United dilahirkan menerusi program akademi Spurs itu dan kini menjadi salah seorang penyerang terbaik di Eropah.
Bagaimanapun, Kane sebelum ini mendedahkan dia mungkin meninggalkan kelab itu sekiranya masih gagal meraih gelaran juara
Sebelum ini, Kane tidak menolak kemungkinan dia akan meninggalkan kelab itu sekiranya tidak menunjukkan peningkatan terutama bagi membolehkan dia menjulang trofi kejuaraan secepat mungkin.
Kane menjaringkan 181 gol buat Spurs dalam semua kejohanan – purata 30 gol dalam satu musim sejak 2014 tetapi sehingga kini dia masih tidak memenangi sebarang trofi bersama kelab London itu.
Penyerang antarabangsa England itu menandatangani lanjutan kontrak selama enam tahun pada 2018 yang menyaksikan dia akan kekal bersama Spurs hingga 2024.
Bagaimanapun, menerusi sesi soal jawab bersama pengulas Sky Sports, Jamie Redknapp di Instagram, Kane berkata dia tidak boleh memberi jaminan yang dia akan kekal bersama Spurs sekiranya kelab itu gagal melakar kejayaan.
“Saya sentiasa sayangkan Spurs tetapi ia bukan hanya mengenai perkara itu. Saya sentiasa katakan jika merasakan kami tidak menunjukkan peningkatan sebagai satu pasukan atau tidak berada di landasan tepat, saya bukan jenis yang akan kekal di sana hanya disebabkan perkara itu.
“Saya pemain yang mempunyai cita-cita tinggi, saya mahu menunjukkan peningkatan dan menjadi pemain yang lebih baik. Saya mahu menjadi pemain utama dunia, jadi ia bergantung terhadap apa yang akan berlaku kepada kami sebagai satu pasukan.
“Jadi, tiada jaminan saya akan kekal selama-lamanya tetapi ia juga bukan sesuatu yang mustahil,” kata Kane.
Paling hampir untuk Kane memenangi trofi adalah dengan mara ke final Piala Liga pada 2015 dan Liga Juara-Juara musim lalu yang menyaksikan Spurs tewas masing-masing di tangan Chelsea serta Liverpool.
“Kita sudah bercakap mengenai perkara itu iaitu Spurs boleh memenangi trofi dengan pasukan yang ada sekarang untuk tempoh beberapa tahun. Kami memiliki pasukan yang menakjubkan tetapi kami masih gagal memenangi trofi.
“Sebagai pemain, ia hakikat yang sukar untuk ditelan. Saya mahu memenangi semua gelaran yang boleh. Saya mahu memenanginya secepat yang mungkin,” katanya.-AFP